Harga arang batu dijangka stabil

Iklan
Harga arang batu global dijangka stabil dalam masa enam bulan bermula Mac selepas meningkat tinggi susulan krisis peperangan Rusia-Ukraine. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Harga arang batu global dijangka stabil dalam masa enam bulan bermula Mac selepas meningkat tinggi susulan krisis peperangan Rusia-Ukraine yang memberi tekanan ke atas industri penjanaan tenaga di Malaysia.

Iklan
Iklan

Ketua (Perolehan dan Rantaian Bekalan) TNB Fuel Services Sdn Bhd (TNBF) Abdul Halim Othman berkata harga arang batu global berupaya untuk turun selepas melonjak naik apabila bekalan dan permintaan kembali stabil.

TNBF adalah anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang ditubuhkan bertujuan untuk memastikan pembelian arang batu pada harga berpatutan kepada penjana bebas (IPP) yang mempunyai Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan TNB.

Iklan

Ia merupakan syarikat bukan berasaskan keuntungan dengan fokus utamanya adalah memastikan ketersediaan arang batu bagi kelangsungan operasi stesen arang batu agar bekalan tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia tidak terjejas.

Abdul Halim berkata, bekalan elektrik yang berterusan adalah tunggak bagi memacu ekonomi negara.

Iklan

"Apabila ekonomi kembali stabil maka harganya akan menurun semula, dan trend seperti ini berlaku pada tahun-tahun sebelumnya,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, tahun 2021 mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang baik yang membawa kepada permintaan tenaga elektrik lebih tinggi, justeru peningkatan permintaan arang batu yang menyebabkan harga komoditi tersebut meningkat naik pada suku kedua dan ketiga tahun itu.

Menurutnya, pada suku keempat 2021 harga arang batu global kembali menurun dan stabil namun tidak kekal lama berikutan keputusan Indonesia menghentikan sementara eksport arang batu pada Januari 2022 untuk memenuhi permintaan domestiknya.

Beliau memberitahu, Malaysia mengimport sebahagian besar komoditi itu dari Indonesia yang merupakan sumber utama tenaga bagi penjanaan elektrik di negara ini.

"Kita dapat mengatasi masalah larangan eksport tersebut kerana kita mempunyai stok yang agak banyak dan boleh bertahan sehingga sebulan.

"Larangan eksport itu pun tidak sampai sebulan dan nampak keadaan sudah kembali normal..tiba-tiba berlaku peperangan Rusia-Ukraine yang menyebabkan harga kembali melonjak naik,” kata Abdul Halim.

Justeru, katanya, TNBF sentiasa memantau keadaan semasa pasaran dan syarikat itu kini berada dalam situasi amat mencabar kerana terpaksa membeli arang batu pada kadar harga yang lebih tinggi.

"Permintaan arang batu di Eropah meningkat dengan mendadak sejak peperangan berlaku kerana kekurangan bekalan gas yang diperoleh dari Rusia.

"Jadi disebabkan ada sekatan berlaku maka mereka terpaksa menggunakan arang batu dan kita terpaksa melalui gelombang ini (peningkatan harga arang batu),” katanya.

Harga arang batu melonjak tinggi mencecah lebih AS$400 satu tan pada awal Mac 2022 dan berada pada paras AS$291.60 satu tan ketika ini.

Beliau berkata, TNBF juga mempunyai kontrak jangka panjang bersama pembekal yang menetapkan harga arang batu untuk tempoh setahun bagi mengurangkan impak peningkatan mendadak harga.

Selain itu, TNBF juga mempunyai pembekal dari beberapa buah negara bagi memastikan keselamatan bekalan mencukupi untuk meneruskan operasi harian sekali gus mengurangkan risiko kekurangan bekalan arang batu. - Bernama