Muip bantu bina, baik pulih rumah asnaf

Iklan
Dr Asmadi (kanan) meninjau kerja-kerja pembinaan rumah sebuah keluarga asnaf bantuan Muip di Kampung Ubai di sini.

KUANTAN - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) telah membaik pulih 187 rumah keluarga asnaf di negeri ini tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Muip, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, sebanyak RM3.1 juta telah dibelanjakan bagi tujuan itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Muip turut memperuntukkan RM 859,000 bagi membina 16 unit rumah baharu berharga RM60,000 seunit untuk golongan itu di negeri ini.

"Untuk kos baik pulih, RM15,000 diperuntukkan bagi setiap rumah bergantung kepada kerosakan dan bahan binaan digunakan.

Iklan

"Kita jangkakan peruntukkan bagi tujuan itu akan terus bertambah tahun ini berdasarkan jumlah permohonan yang diterima," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Dr Asmadi berkata, Muip menerima permohonan sepanjang tahun untuk bantuan membina dan baik pulih rumah daripada golongan asnaf di negeri ini.

Iklan

"Kerjasama daripada pemimpin setempat termasuk ketua kampung dalam menyalurkan permohonan membina dan baik puluh rumah asnaf di kawasan masing-masing memudahkan serta dapat membantu Muip menunaikan tanggungjawab kepada golongan itu.

"Golongan asnaf yang memerlukan bantuan kediaman selain bagi baik pulih mereka boleh berhubung dengan Muip negeri dan cawangan setiap daerah.

"Sekiranya layak dan memenuhi syarat, permohonan mereka akan dipertimbangkan untuk diluluskan," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan permohonan diterima, pihaknya akan membuat tinjauan dan bertemu dengan pemohon bagi mendapat maklumat sebenar.

"Antara syarat bagi permohonan membina rumah baharu, pemohon perlu memiliki tanah sendiri untuk tapak rumah tersebut," katanya.

Menurutnya, Muip menyediakan pelbagai bantuan dan kemudahan kepada golongan asnaf di negeri ini.

"Tahun lalu RM170.9 juta bantuan zakat telah diagihkan kepada golongan asnaf melalui bantuan kewangan, barangan keperluan, membina dan membaiki rumah serta program keagamaan.

"Muip akan terus memperkasakan Program Cakna Asnaf di negeri ini dalam usaha mendekati dan membantu golongan tersebut," katanya.