SUNGAI PETANI - Cubaan dua wanita warga Thailand melarikan diri melalui tingkap ketika diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) gagal setelah dikepung dalam kejadian jam 1.45 pagi Ahad di Taman Sejati Indah, di sini.
Kedua-duanya berusia 37 dan 43 tahun itu dipercayai menawarkan khidmat urut dan seks bertindak memanjat tingkap sebelum berjalan atas bumbung untuk bersembunyi di premis sebelah.
Timbalan Pengarah JIM Kedah, Rosmaliza Mohamed Rashid berkata, tindakan pantas anggota penguat kuasa yang mengepung premis terbabit berjaya menahan kedua-duanya.
Menurutnya, seorang lelaki warga Bangladesh berusia 34 tahun yang dipercayai pelanggan turut ditahan dalam serbuan sama.
"Tindakan kedua-dua wanita itu sanggup membahayakan diri dengan memanjat tingkap belakang dan meniti bumbung semata-mata mahu meloloskan diri," katanya.
Jelasnya, hasil risikan dan intipan mendapati premis yang berada di tingkat atas sebuah restoran itu digunakan untuk kegiatan pelacuran terbabit.
"Namun, ketika sampai, laluan utama ke tingkat atas telah dikunci menyebabkan anggota terpaksa menggunakan alat pemotong untuk sampai ke lokasi.
"Pemeriksaan mendapati, bilik di premis terbabit telah diubahsuai menjadi beberapa ruang kecil menggunakan papan pemisah. Setiap ruang dilengkapi tilam dan peralatan mengurut serta alat pelacuran.
"Turut ditemui wang tunai RM200 yang dipercayai telah dibayar pelanggan warga Bangladesh untuk mendapatkan khidmat seks dan bermalam," katanya.
Menurutnya, dua wanita terbabit disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 manakala lelaki Bangladesh disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) akta yang sama kerana pas lawatan sementara tamat tempoh.