Mohamad Arasy hilang tempat bergantung

Iklan
JKM meminta waris kepada Mohamad Arasy tampil segera untuk memudahkan proses dokumentasi pengambilan kanak-kanak tersebut sebagai anak angkat.

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meminta waris seorang kanak-kanak lelaki yang kematian ibu angkatnya akibat positif Covid-19 supaya tampil memberi kerjasama untuk proses hak penjagaannya.

Pegawai JKM Johor Bahru, Adnan Md Yassin berkata, Mohamad Arasy Abdullah yang kini berusia dua tahun hilang tempat bergantung selepas ibu angkatnya, Rokiah Eonos, 62, meninggal dunia hujung tahun lalu.

Iklan
Iklan

"Hospital ada menghubungi waris supaya mengambil Mohamad Arasy untuk penjagaan selanjutnya namun sehingga kini tiada maklum balas atau kerjasama daripada waris.

"Kanak-kanak itu dirujuk ke JKM pada 10 November tahun lalu dan dikategorikan sebagai kanak-kanak memerlukan pemeliharaan dan perlindungan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Katanya, Mohamad Arasy dan ibu angkatnya sebelum ini positif Covid-19 pada 4 Oktober lalu sebelum mereka dimasukkan ke Jabatan Kecemasan Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.

Malangnya kata beliau, ibu angkatnya yang berstatus ibu tunggal meninggal dunia selepas disahkan positif.

Iklan

Menurutnya, siasatan mendapati ibu angkat berkenaan tidak sempat melengkapkan proses dokumentasi pengambilan Mohamad Arasy sebagai anak angkat kerana sebelum ini tiada kerjasama daripada ibu bapa kandungnya.

Katanya, ketika ini sepasang suami isteri yang sudah berkahwin sejak lapan tahun lalu dan masih belum dikurniakan cahaya mata ada menunjukkan minat untuk memelihara Mohamad Arasy.

Justeru katanya, Pelindung Kanak-kanak JKM berharap waris Mohamad Arasy tampil segera demi masa depan kanak-kanak tersebut.

"Kami berharap waris kanak-kanak berkenaan tampil menghubungi Pelindung Kanak-kanak JKM, Intan Suria Ismail menerusi talian 07-2232606 atau 07-2232607 bagi," katanya.