KEMENANGAN 6-0 Chelsea ke atas Southampton di St.Mary pada Ahad menggambarkan bahawa The Blues tidak terlalu terkesan dengan kekalahan kepada 1-3 kepada Real Madrid pada aksi suku akhir pertama saingan Liga Juara-Juara, 7 April lalu.
Malah, Thomas Tuchel menyifatkan skuad kendaliannya itu telah beraksi cemerlang di sepanjang perlawanan berkenaan bagi menghasilkan kemenangan berkenaan.
"Secara keseluruhannya, kami beraksi di stadium yang agak sukar, namun pemain berjaya membuatkannya kelihatan mudah.
"Pemain Chelsea, ternyata begitu fokus pada perlawanan ini dengan lebih banyak menguasai bola berbanding lawan.
"Faktor berkenaan (kuasai bola), juga dilihat sebagai antara faktor yang menyumbang kepada keputusan yang luar biasa ini,” katanya.
Pada perlawanan berkenaan Chelsea membuka jaringan menerusi jaringan Marcos Alonso pada minit ke-8 diikuti Mason Mount pada minit ke-16 dan min-54, Timo Werner (min-22, min-49) dan Kai Havertz min-31.
Kemenangan itu sekali gus, melonjakkan The Blues pada kedudukan ketiga dengan 62 mata setelah mengharungi 30 perlawanan setakat ini.
Sementara itu Tuchel berkata kemenangan itu diharap berterusan pada baki lapan perlawanan akan datang dalam usaha memastikan skuad kendaliannya itu menamatkan saingan EPL musim ini pada kedudukan terbaik.
"Hanya tinggal lapan perlawanan untuk diharungi musim ini dan sudah tentu kami mahu menamatkannya dengan memastikan pasukan ini berada pada kedudukan yang terbaik.
"Diharapkan pemain terus fokus pada semua baki perlawanan nanti bagi menghasilkan kemenangan berkenaan,” katanya.