KOTA BHARU - Polis Kelantan menolak dua permohonan awam bagi mendapatkan permit berniaga mercun dan bunga api pada Ramadan tahun ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, permohonan itu ditolak kerana tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurutnya, setakat ini polis menerima sembilan permohonan dan dua daripadanya ditolak kerana tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan seperti tidak mempunyai tempat penyimpanan yang selamat.
"Permohonan selebihnya akan diberikan keputusan pada hari ini sama ada dibenarkan atau tidak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kota Bharu daripada Superintendan Mohd Suhaimi Ali kepada Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini pada Ahad.
Turut berlangsung pada majlis itu, Majlis Serah Terima Tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kota Bharu daripada Che Maini Che Mahmood kepada Mazira Ismail yang disaksikan oleh Pengerusi Perkep Kelantan, Datin Zairihan Che Haron.
Mengulas lanjut, Shafien berkata, setakat ini polis telah merampas mercun keseluruhan bernilai RM392,008 dengan tujuh tangkapan lelaki berusia 20 hingga 33 tahun di daerah Tumpat, Kota Bharu, Bachok, Pasir Mas dan Rantau Panjang.
"Serbuan dilakukan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Cawangan MPV dari IPD antara tempoh 31 Mac lalu sehingga 9 April lalu.
"Lapan kes penyeludupan mercun direkodkan dan ada di antara penyeludup ini dapat melarikan diri,” katanya.
Katanya, Kelantan dijadikan laluan masuk oleh penyeludup untuk membawa barangan larangan itu dari negara jiran bagi pasaran di sekitar negeri ini dan sebahagiannya di luar Kelantan seperti Johor.
"Pasukan khas yang ditubuhkan akan terus memantau kegiatan ini dan melakukan serbuan bagi membanteras penyeludupan mercun dari Thailand sehingga ke perayaan Aidilfitri nanti,” katanya.