KUALA TERENGGANU - Usaha membaik pulih Stesen Janakuasa Sultan Mahmud (SJSM) yang dihentikan sementara operasinya sejak 27 Februari selepas dilanda tanah runtuh berjalan dengan lancar.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang meninjau kerja-kerja membaik pulih stesen itu berpuas hati dengan usaha Tenaga Nasional Berhad (TNB) memulihkan operasi stesen itu.
"Usaha memulihkan operasinya berjalan lancar dengan kini memasuki fasa pemulihan kejuruteraan dan beroperasi semula menjelang hujung tahun ini, mengikut perancangan.
"Selepas 40 hari daripada kejadian, saya melihat pemulihan telah dilaksanakan secara terbaik dan dengan pantas. Ianya dilaksanakan melalui banyak peringkat-peringkat yang perlu disegerakan,” katanya yang turut meninjau kawasan SJSM dan Kenyir dari udara pada Khamis.
Takiyuddin turut melawat beberapa lokasi penting termasuk jambatan Bailey berhampiran stesen, menara penghantaran, kawasan empangan serta pencawang masuk utama sebelum diberikan taklimat mengenai pengurusan krisis oleh Pengurus Besar, State Stakeholder Affairs (Kelantan/Terengganu) TNB, Mustaphakamal Yaacob.
Hadir sama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din dan Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco), Datuk Nor Azman Mufti.
Dalam pada itu, Takiyuddin turut memuji kemampuan TNB dalam memastikan pembekalan tenaga elektrik di Terengganu tidak terjejas sepanjang usaha pemulihan.
Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, tumpuan yang diberikan oleh TNB dan kementerian (KeTSA), memberikan keyakinan tambahan bahawa proses pemulihan itu akan berjalan dengan lebih baik dalam apa jua yang terkesan sebelum ini, termasuklah aspek pembekalan air dan sebagainya.
Menurut Baharin, fasa kedua pemulihan termasuk penyenggaraan peralatan dan aset-aset penjanaan dijangka selesai Jun ini dan diikuti fasa ketiga ke arah pemulihan operasi, yang mana keseluruhan proses pemulihan mengambil masa hampir enam bulan dalam usaha memastikan keselamatan stesen berada dalam keadaan terkawal sepenuhnya.
"Pelaksanaan langkah pemulihan bagi mengembalikan operasi SJSM turut merangkumi penilaian impak kejadian kepada struktur empangan.
Penilaian mendapati integriti struktur empangan kekal kukuh dan selamat. Keadaan di sekitar Tasik Kenyir juga dijamin selamat,” ujarnya.
SJSM dihenti tugas sementara berikutan menara penghantaran voltan tinggi 132kV yang menyalurkan bekalan elektrik kepada Grid Nasional tumbang pada 27 Februari akibat kejadian tanah runtuh dalam keadaan hujan lebat luar biasa bermula 25 Februari.
Kejadian tanah runtuh itu turut memutuskan perhubungan jalan keluar-masuk ke SJSM, meruntuhkan sebuah jambatan dan diikuti aliran mendapan yang membanjiri kawasan stesen.
Sebaik kejadian, TNB telah mengaktifkan Pelan Kesinambungan Bisnesnya (pelan tindakan kecemasan) termasuk penyelarasan dengan pihak berkepentingan, agensi kerajaan dan jabatan lain di TNB.
Semua kerja-kerja fasa pertama termasuk pembersihan akses ke stesen, pembersihan bahan mendapan termasuk sisa kayu dan keladak telah dilaksanakan selain memulakan pemeriksaan struktur empangan dan perkakasan, keselamatan cerun dan kawasan penampan serta alur limpah.