ARSENAL harus menyalahkan diri sendiri apabila mengalami kekalahan 1-2 kepada Brighton dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates pada Sabtu.
Kekalahan itu menyukarkan misi Arsenal untuk berada dalam kelompok empat teratas yang mana Tottenham Hotspur kini mendahului dengan kelebihan tiga mata selepas membelasah Aston Villa 4-0.
Pengendali Arsenal, Mikel Arteta berkata, The Gunners sememangnya layak mengalami kekalahan itu berdasarkan prestasi mereka sepanjang aksi berlangsung.
"Kami bermain teruk sekali lagi di babak pertama dan ini perlu diperbetulkan kerana jalan ini tidak akan membawa kami ke mana-mana, terutama di mana kami mahu berada.
"Semua perancangan tidak menjadi, apa yang kami mahu tunjukkan di atas padang tidak menjadi kenyataan. Kami tidak mengawal bola dengan baik dan sekali lagi tampil sebagai pasukan lemah.
"Kami tidak ada hala tuju dan tidak menunjukkan reaksi terhadap corak permainan ditampilkan Brighton. Ia bukan masalah sikap, tetapi lebih kepada pendekatan dan keberanian yang tidak ada pada kami,” katanya.
The Gunners tewas buat kali kedua berturut-turut selepas Leandro Trossard dan Enock Mwepu meletakkan Brighton di depan sebelum Martin Odegaard merapatkan jurang gol pada penghujung perlawanan.
"Pemain sering melihat sama sendiri dan tiada inisiatif untuk melakukan apa yang sepatutnya. Anda tidak boleh bermain begitu, anda perlu berusaha dan mengubahnya.
"Kami perlu bermain habis-habisan pada baki lapan perlawanan. Apa yang berlaku sekarang ialah kami kerap mengkritik diri sendiri, dihukum sekali lagi kerana kesilapan sendiri,” ujar Arteta.