PUTRAJAYA - Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki yang tersepit kaki pada eskalator di pusat beli-belah di sini pada Ahad.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 1.48 petang.
"Sepasukan anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 2.01 petang.
"Kejadian melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang telah tersepit kaki kanan pada eskalator yang sedang bergerak di tingkat dua pusat beli-belah berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa sedang menuruni eskalator tersebut.
"Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut," katanya.