KANGAR - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Langkawi menggagalkan usaha menyeludup 200 kilogram (kg) daun ketum ke negara jiran berhampiran Pulau Ketam pada Ahad.
Komander PPM Wilayah Satu Langkawi, Asisten Komisioner Polis Shamsol Kassim berkata, bot ronda pasukan tersebut mengesan sebuah sampan di sempadan laut Malaysia-Thailand pada jam 4.30 pagi.
Iklan
Iklan
Menurutnya, menyedari kehadiran PPM, tekong sampan itu memecut ke arah pantai berdekatan untuk meloloskan diri.
"Panik akibat dikesan oleh bot ronda penguat kuasa, lelaki dipercayai tekong sampan tersebut nekad memecut laju ke arah pantai sebelum meloloskan diri ke kawasan hutan bakau berdekatan.
"Pemeriksaan dibuat di atas sampan terbabit menemukan 20 bungkusan plastik hitam mengandungi 200kg daun ketum," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambahnya, nilai keseluruhan daun ketum, sampan dan enjin dianggarkan bernilai RM15,000 dan kesemua rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Artikel Berkaitan