Pusat hiburan berselindung di sebalik kafe diserbu

Iklan
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR - Sebuah kafe di Jalan Batai, Damansara Heights di sini yang beroperasi sebagai pusat hiburan diserbu pada awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, serbuan dijalankan pada jam 12.15 tengah malam.

Iklan
Iklan

"Hasil serbuan polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang bertindak sebagai penjaga premis.

"Selain itu, seramai 33 pelanggan warga tempatan terdiri daripada 19 lelaki dan 14 wanita turut diperiksa menerusi serbuan dijalankan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Katanya, pelbagai peralatan dipercayai digunakan di premis berkenaan turut dirampas.

"Antara yang dirampas melibatkan dua keping resit perniagaan, sebuah iPad dan satu alat pemain muzik.

Iklan

"Kes disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1952," katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyalahgunaan lesen perniagaan diminta supaya menyalurkannya kepada pihak polis.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyalahgunaan lesen perniagaan kerana menjalankan aktiviti pusat hiburan disarankan menyalurkan maklumat tersebut kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

"Pihak polis memandang serius sebarang aktiviti pusat hiburan yang menyalahi undang-undang," katanya.