JDT, Sabah FC perkukuh kedudukan

Iklan
Bergson (kanan) meledak dua gol sekali gus membantu kemenangan JDT pada malam Ahad. - Foto FB Johor Southern Tigers

SKUAD Johor Darul Ta’zim (JDT) terus gah di persada Liga Super apabila menewaskan Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada malam Ahad.

Tampil dengan barisan terkuatnya, skuad Harimau Selatan itu tidak perlu menunggu lama untuk membuka jaringan menerusi Bergson da Silva pada minit ke-7.

Iklan
Iklan

Tersentak dengan jaringan berkenaan TFC mula mengatur serangan ke pintu gol JDT dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Kpah Sherman pada minit ke-31, namun jaringan penyamaan itu hanya mampu bertahan selama dua minit apabila Bergson menjaringkan gol kedua JDT pada minit ke-33.

Babak kedua menyaksikan tiada sebarang jaringan tambahan berjaya dilakukan kedua-dua pasukan dan menyaksikan kedudukan kekal ke wisel penamat.

Iklan

Terdahulu, Sabah FC semakin mengukuhkan kedudukan kedua di belakang JDT apabila menewaskan Sarawak United 1-0 di Stadium Negeri Kuching,.

Gol tunggal skuad The Rhino itu dijaringkan kapten, Baddrol Bakhtiar yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-80.

Iklan

Kemenangan itu menyaksikan Sabah semakin mengukuhkan kedudukan pada tangga kedua Liga Super dengan 12 mata manakala Sarawak United kekal pada tangga ke-11 tanpa sebarang kemenangan setelah mengharungi empat perlawanan.

Dalam pada itu, di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor FC meraih tiga mata berharga apabila menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC 4-1.

Mukhairi Ajmal Mahadi meletakkan skuad Red Giants itu di depan hasil jaringannya pada minit ke-25 sebelum Herlison Caion menjaringkan gol kedua pada minit ke-34.

Babak kedua menyaksikan Selangor FC menjaringkan dua lagi gol menerusi pemain gantian Norhakim Hassan pada minit ke-83 dan Caion menjaringkan gol keempat yang juga gol kedua peribadanya pada minit ke-86.

KDA FC bagaimanapun berjaya menjaringkan gol saguhati menerusi pemain gantian, Mohammad Fayadh Zulkifli Mohd Amin pada masa kecederaan.

Sementara itu, aksi Liga Premier di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, menyaksikan PDRM FC meraih tiga mata apabila bangkit menewaskan Terengganu FC II (TFC II), 2-1.

Biarpun ketinggalan 0-1 hasil jaringan pemain TFC II, Nur Azfar Fikri Azhar pada minit ke-12, namun Martin Adamec muncul wira PDRM FC apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-73 dan seterusnya gol kemenangan pada minit ke-89.

Kemenangan itu menyaksikan PDRM melonjak ke tangga ke tiga dan mengekori rapat Johor Darul Ta’zim (JDT) II dan Kelantan FC.