Rakyat teruja kembali melancong

Iklan
Pengunjung membuat perbandingan harga promosi yang ditawarkan. Gambar kecil dari kiri: Mohd Adli, Carmen Leow, Jefry, Terience Loh, Nur Hayati

SHAH ALAM - Bersempena negara dalam fasa peralihan ke endemik, orang ramai meluahkan rasa teruja apabila kerajaan memberi kelonggaran untuk melancong sama ada di dalam mahupun luar negara setelah dua tahun sempadan tidak dibuka.

Berdasarkan tinjauan Sinar Harian dalam MATTA Fair Kuala Lumpur (KL) yang diadakan dari 9 hingga 10 April, rata-rata mereka sibuk melakukan perbandingan harga untuk melancong ke destinasi pilihan masing-masing.

Iklan
Iklan

Ada yang berhasrat untuk melancong ke luar negara setelah kerajaan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP), ada juga yang ingin meningkatkan ekonomi negara dengan melancong dalam Malaysia.

Hasil tinjauan mendapati, bermula jam 11 pagi lagi pekarangan Pusat Dagangan Dunia (WTC) KL dipenuhi dengan orang ramai yang ingin melihat promosi yang ditawarkan oleh setiap agensi pelancongan.

Iklan

Pengurus kewangan, Nur Hayati Jabarrudin, 27, berkata, kerinduannya untuk melancong di luar negara tercapai apabila terdapat pelbagai agensi yang menawarkan diskaun ke negara yang ingin dikunjungi.

Jelasnya yang menetap di Cheras, dia berhasrat untuk membuat tempahan tiket ke Turki setelah membuat beberapa perbandingan antara agensi di sini.

Iklan

"Kita sudah lama dengan pandemik Covid-19, sudah dua tahun tidak melancong. Inilah masanya untuk kita rehat dan beri ganjaran kepada diri sendiri.

"Saya masih belum buat tempahan lagi, sekarang saya tengah buat perbandingan harga. Setelah itu, baru saya akan buat pilihan untuk pergi ke mana.

"Setakat ini, yang menarik minat saya adalah ke Turki kerana memang banyak promosi yang menarik,” katanya ketika ditemui di sini pada Ahad.

Pengunjung yang melawat reruai Tourism Malaysia.

Pengurus pemasaran, Carmen Leow, 36, pula berkata, pameran itu memudahkan seseorang untuk mengetahui lebih lanjut maklumat sesuatu destinasi.

"Adik saya mahu tempah tiket ke Turki. Sememangnya harga tiket dalam talian ada yang lebih murah. Tetapi, dengan adanya pameran secara walk-in ini, kita boleh tanya maklumat lebih banyak lagi.

"Dalam masa sama, kita boleh buat perbandingan harga dan lihat promosi yang ditawar ke destinasi lain,” ujarnya.

Sementara itu, Jefry Azam, 39, yang bekerja sendiri berkata, tujuannya hadir ke MATTA Fair adalah untuk meningkatkan lagi ekonomi dengan melancong dalam negara.

"Saya nak melancong dalam negara. Sejak lebih banyak sektor pelancongan dalam negeri ini dibuka, saya ingin bawa anak-anak berjalan sebab sudah lama tidak keluar bersama-sama ke negeri lain.

"Saya akan pergi ke utara tanah air dan juga mungkin ke Cameron Highlands,” ujarnya.

Jelasnya, penganjuran MATTA Fair ini sememangnya digalakkan kerana dapat membantu sektor pelancongan yang sekian lama tidak dapat beroperasi sepenuhnya.

"Setiap tahun saya akan hadir ke sini sebab pakej ditawarkan memang murah. Sebelum ini saya telah pergi banyak tempat dalam negeri seperti di Melaka dan Perak,” katanya.

Turut mengambil keputusan untuk melancong dalam negara ialah pengurus syarikat, Terience Loh, 45.

Katanya, ia dibuat bagi membantu merancakkan lagi sektor pelancongan negara.

Jelasnya, orang ramai seharusnya mengambil peluang tersebut memandangkan diskaun yang ditawarkan bersesuaian dengan keadaan semasa negara.

"Saya sedang mencari pakej pelancongan yang murah dan bersesuaian. Saya mengambil keputusan untuk melancong dalam negara sahaja.

"Bagi mereka yang sedang mencari promosi pelancongan, di sinilah tempatnya kerana mempunyai diskaun tinggi dan tidak terlalu mahal sesuai dengan keadaan rakyat sekarang,” jelasnya.

Sementara itu, jurutera teknologi maklumat, Mohd Adli Maharon, 41, berkata, dia telah menempah empat tiket ke taman tema Sunway Lagoon, Selangor bagi memenuhi aktiviti masa lapang bersama keluarga.

"Saya beli ini untuk anak-anak. Supaya cuti sekolah mereka dapat dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti. Diskaun di sini memang memuaskan hati,” katanya.