LIPIS -"Saya tetap rasa tak sampai hati jual dengan harga RM2.50 sekeping," kata seorang peniaga martabak, Nur Fatihah Kamil,30 di Kampung Aur Gading di sini.
Walaupun dihimpit dengan pelbagai kenaikan kos barangan, pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Matematik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu memilih untuk mengekalkan harga jualan menu popular tersebut pada tahun ini.
Menurutnya, martabak daging yang dijual di gerainya sejak lima tahun lalu adalah hasil resipi ibu dan hanya dijual pada bulan Ramadan selain ditebar sendiri oleh Nur Fatihah.
"Kalau bulan biasa, saya jual roti canai RM0.50 sekeping dan kemahiran menebar ini diperoleh daripada bapa, Md Kamil Abdullah kerana keluarga juga melakukan perniagaan sama di Kelantan.
"Ini pun saya rasa macam tak sanggup jual dengan harga RM2.50 sekeping memikirkan orang lain yang kurang berkemampuan, ramai anak mesti rasa terbeban nak beli banyak," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Ujarnya, setiap hari sebanyak 300 keping terjual dan mengakui tidak dapat menghasilkan lebih banyak martabak kerana seorang diri menebar selain dibantu suaminya, Mohd Fauzan Borhan,37 di gerai tersebut.
"Saya bersyukur kerana suami pun berpandangan sama dan setuju untuk menjual dengan harga tersebut.
"Selain jual di gerai, saya juga mendapat tempahan dari pihak masjid, surau dan asrama sekolah berhampiran," jelasnya ibu kepada dua cahaya mata itu.