PENGENDALI Tottenham Hotspur, Antonio Conte mula mencongak peluang beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara, setelah skuad kendaliannya itu berjaya menyertai kelompok empat pasukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) hasil kemenangan 4-0 ke atas Aston Villa pada Ahad.
Menurut Conte, peluang sedemikian tidak akan dilepaskan dan mahu memastikan skuad The Lilywhites melakar kemenangan pada baki tujuh perlawanan EPL, musim ini.
"Kita kini berada pada kedudukan keempat EPL dan berpeluang untuk beraksi di Liga Juara-Juara musim depan.
"Oleh itu, peluang ini perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh kesebelasan pemain dengan memastikan kemenangan pada baki perlawanan musim ini.
"Kita juga tidak boleh menoleh ke belakang lagi kerana sasaran (ke Liga Juara-Juara) kita terbuka luas di depan mata,” katanya.
Pada aksi berdepan Villa, pemain Spurs, Son Heung-min meledak hatrik pada minit ke-3, min-66 dan min-71 manakala satu lagi gol dijaringkan oleh Dejan Kulusevski pada minit ke-50.
Kemenangan itu menyaksikan Spurs kini berada pada kedudukan keempat dengan 57 mata meninggalkan pencabar terdekat, Arsenal yang hanya meraih 54 mata.
Sementara itu, Conte percaya percaturan bagi mengukuhkan benteng pertahanan selain memanfaatkan setiap peluang di depan pintu gol menjadi faktor yang menyumbang kepada kemenangan 4-0 ke atas Aston Villa.
"Kami gembira dengan kemenangan ini, tetapi ia bukanlah satu kemenangan yang mudah kerana Villa turut memberikan tekanan kepada kami di sepanjang perlawanan.
"Apa pun, kita perlu kekalkan kedudukan ini dengan memastikan kemenangan pada perlawanan-perlawanan akan datang,” katanya.