KUALA LUMPUR - Seramai 39 ahli Parlimen telah melompat parti sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu sehingga mengakibatkan negara berhadapan dengan isu pergolakan parti dengan menyaksikan penyandang Perdana Menteri bertukar sebanyak tiga kali.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, keadaan ini merupakan satu isyarat yang jelas menunjukkan amalan demokrasi negara kini tidak sihat dan berada pada tahap membimbangkan.
Menurutnya, umumnya tindakan ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap wakil rakyat yang dipilih memilih melalui pilihan raya umum.
"Sikap dan tindakan bertukar parti oleh ahli Dewan Rakyat secara langsung (juga) membuat rakyat menilai kesetiaan mereka terhadap parti mewakili dan dalam masa sama memberi kesan kepada amalan demokrasi negara.
"Justeru seperti mana semua sedia maklum usaha menambah baik sistem pentadbiran negara melalui pelbagai inisiatif transformasi pentadbiran secara kerjasama dwi partisan kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah diterjemah melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik pada 13 September 2021 antaranya termasuk perkara 2.1 mengenai keperluan membentang dan melulus Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti di Parlimen.
"Penggunaan istilah anti lompat parti ini adalah sementara kerana dalam RUU itu kita perhalusi namanya lebih wajar dan lebih elok,” katanya pada Mesyuarat Khas Penggal Kelima Majlis Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, kesungguhan kerajaan untuk membentangkan RUU itu juga dibuktikan apabila sebanyak 12 sesi libat urus telah dilaksanakan bersama dengan pihak berkepentingan.
"Bagi menjayakan komitmen ditetapkan kerajaan melalui hal ehwal undang dan dan Pejabat Peguam Negara telah mengadakan sesi libat urus dengan menyeluruh dan komprehensif bersama pihak berkepentingan seawal 23 November hingga 7 April 2022,” katanya.