JOHOR BAHRU - Perintah reman terhadap lapan suspek yang ditahan bagi membantu siasatan kes pembuangan sisa bahan kimia ke Sungai Kim Kim, Taman Pasir Putih, Pasir Gudang dilanjutkan lagi bermula hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, lanjutan beberapa hari lagi itu adalah bagi membolehkan kertas siasatan dilengkapkan dengan sebaiknya.
"Polis akan pohon reman sehari atau dua hari lagi, kerana ada sedikit lagi siasatan perlu dibuat.
"Saya berpuas hati dengan siasatan setakat ini, tetapi ada beberapa perkara lagi perlu dibuat untuk melengkapkan kertas siasatan," katanya ketika ditemui, di sini, kelmarin.
Pada 18 Mac lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memaklumkan polis telah menahan sembilan suspek bagi membantu siasatan berhubung pembuangan sisa kimia tersebut.
Bagaimanapun, hanya lapan daripadanya diperintahkan menjalani reman selama enam hari bermula Isnin dan tamat pada hari ini.
Seorang daripada sembilan suspek itu pula dilepaskan dengan jaminan polis selepas pihaknya mendapati dia tiada kaitan dengan insiden berkenaan.
Tiga hari selepas itu, dua lagi suspek kemudiannya ditahan kerana disyaki menjadi orang yang bertanggungjawab membenarkan suspek terdahulu mengangkut sisa bahan kimia untuk proses pembuangan di sungai terbabit.
Bagi dua suspek ini pula, reman masih berjalan sehingga Isnin depan.