Perbadanan M-WEZ mula operasi Jumaat ini

Iklan
Sulaiman (dua dari kanan) melawat pameran Zon Pembangunan M-WEZ selepas melancarkan Blueprint M-WEZ pada Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Bulan April 2022 pada Isnin. - Foto Bernama

MELAKA - Kerajaan negeri Melaka menubuhkan Perbadanan Zon Pembangunan Ekonomi Persisiran Pantai Melaka (M-WEZ) yang akan memulakan operasi di Seri Negeri di sini pada Jumaat ini, kata Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Menurutnya, perbadanan itu akan bertindak sebagai sebuah badan khas yang mengawal dan menyelaras segala bentuk pembangunan serta mempromosikan kawasan M-WEZ dalam usaha menarik lebih banyak pelabur.

Iklan
Iklan

"Penubuhan Perbadanan M-WEZ diluluskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 22 September lepas dalam usaha memastikan segala projek yang dirancang di bawah M-WEZ akan dapat dilaksanakan dengan lancar melibatkan pemegang taruh.

"Saya berharap semua pihak yang terlibat dapat memainkan peranan penting dalam menjayakan M-WEZ yang sekali gus menjadi pemboleh ekonomi bagi negeri ini," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Bulan April 2022 pada Isnin.

Iklan

Pada perhimpunan itu, beliau turut melancarkan Blueprint M-WEZ yang menjadi kerangka hala tuju strategik dalam menarik pelaburan dan pembangunan masa depan negeri itu.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, pelan tindakan berkenaan merangkumi strategi pembangunan ekonomi, fizikal dan sosial selaras dengan Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya (PSMJ) 2035, di bawah Flagship Pertama iaitu Pembangunan Ekonomi Melaka.

Iklan

Beliau berkata, Blueprint M-WEZ tersebut akan diguna pakai oleh pihak berkuasa negeri, pihak berkuasa tempatan, jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat secara langsung di dalam projek berkenaan sebagai rujukan utama kelulusan pemajuan pembangunan.

"Pelan tindakan itu juga menjadi perintis pelaburan serta asas permohonan peruntukan projek baharu di bawah Rancangan Malaysia (RMK).

"Dalam persaingan pembangunan di dunia, Melaka perlu menggunakan strategi baharu untuk memacu pembangunan ekonomi dan mewujudkan kawasan pertumbuhan baharu yang lebih inklusif dan lestari agar ia dapat menjadi perubah rentak bagi ekonomi Melaka selaras dengan tonggak utama di dalam PSMJ 2035," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata penjawat awam di negeri itu dilarang menerima sebarang penganugerahan pingat daripada mana-mana pihak yang tidak diiktiraf kerajaan negeri.

Katanya kerajaan negeri menawarkan pelbagai pingat atau pengiktirafan yang diluluskan kepada individu yang layak termasuk penjawat awam dan ia bukan alasan untuk mereka menerima pingat yang tidak diiktiraf.

"Walaupun setakat ini tiada laporan atau kes berkaitan penjawat awam menerima pingat yang tidak diiktiraf namun peringatan ini sebagai langkah awal sebelum perkara ini berlaku," katanya. - Bernama