SHAH ALAM - Trend penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Selangor merekodkan peningkatan ketara ketika peralihan fasa endemik.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, beberapa kawasan dikenal pasti menjadi lokasi panas pendaratan PATI iaitu di pesisiran pantai Kuala Selangor, Sabak Bernam, Kuala Langat dan Sepang.
"Ops Benteng yang dilaksanakan mengesan PATI dari negara jiran menceroboh masuk melalui jalan tidak diwartakan (jalan laut).
"Beberapa hari lalu direkodkan banyak tangkapan sejak pembukaan sempadan (1 April). Ini satu trend peningkatan ketara dan kami sedang pertingkatkan rondaan, pemantauan dan risikan dengan bantuan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta Pasukan Polis Marin (PPM) di sepanjang pantai,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan di Sinar Harian, pada Isnin.
Beliau berkata, berdasarkan lokasi 'hotspot' yang dikesan itu, antara punca trend penyeludupan tersebut adalah kerana laluan-laluan tersebut mudah selain berpandukan cahaya di Pelabuhan Klang dan rumah api.
Katanya, selain tangkapan PATI, polis melaksanakan tangkapan terhadap ahli sindiket yang terlibat.
Pada 5 April lalu, Sinar Harian melaporkan, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerakan Am) Bukit Aman, Deputi Komisioner Muhammad Abdul Halim mendedahkan, sindiket penyeludupan PATI akan menggunakan pelbagai helah untuk menceroboh masuk ke Malaysia ketika negara memasuki peralihan fasa endemik pada 1 April.
Polis tidak tolak kemungkinan ada PATI yang sanggup membayar RM1,300 ke RM1,500 kepada ejen sindiket.
Sementara itu, mengulas berkenaan isu pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di Selangor, Arjunaidi berkata, pasukan pemantauan SOP sentiasa melaksanakan rondaan bagi memastikan masyarakat terus patuh dengan situasi semasa Covid-19.
"Kami sentiasa berusaha memberi nasihat kepada masyarakat terutama ketika bulan Ramadan apabila orang ramai tertumpu di bazar selain pusat beli-belah.
"Setiap hari ada tindakan kompaun membabitkan kesalahan tidak memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal. Pada peringkat fasa peralihan endemik ini, adalah penting untuk penjagaan diri dan mereka yang bergejala diingatkan untuk tidak bercampur dengan orang lain dan sebagainya,” kata beliau.
Kata Arjunaidi, bagaimanapun secara keseluruhan masyarakat di Selangor patuh terhadap SOP Covid-19.