Mydin raikan golongan kurang bernasib baik

Iklan
Mohd Najib (tengah) mencuba pakaian baharu dibantu oleh Siti Zailah (kiri) dan Ameer Ali pada program Mydin Prihatin Syawal yang diadakan di Mydin Subang Jaya pada Isnin. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

SUBANG JAYA –"Alhamdulillah, dapat baju raya baharu, saya bersyukur sangat,” kata remaja orang kurang upaya (OKU), Mohd Najib Ibrahim, 20.

Mohd Najib merupakan anak bongsu dari lapan beradik yang ditemui pada program Mydin Prihatin di sini pada Isnin tidak menyangka, ada pihak yang sudi memberikan sumbangan berupa kelengkapan dan pakaian Hari Raya kepada golongan sepertinya pada tahun ini.

Iklan
Iklan

"Terima kasih Mydin dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor kerana mengadakan program bagi meraikan golongan seperti saya,” kata pelajar Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan OKU (PPLPO), Bangi itu.

Mohd Najib juga penerima bantuan JKM sebanyak RM150 sebulan meluahkan rasa gembira kerana berpeluang memiliki baju raya kerana tiada perancangan untuk membelinya sebelum ini.

Iklan

Seorang lagi penerima Nor Syafikah Norahim,17, begitu teruja selepas diberitahu akan dibawa ke Pasar Raya Mydin untuk memilih baju raya sendiri.

Dari kiri Afiena Zhafrisha Alawi Abd Razak, Amy Shaziera Muhd Norazizi Yusrizan, Alia Maisyarah Hussin dan Nor Syafikah Norahim dari Pertubuhan Rumah Amal Tengku Ampuan Rahimah memilih pakaian raya di Pasar Raya Mydin selepas selesai majlis Mydin Prihatin Syawal. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

"Selalunya orang sumbang kami terima, tapi kali ini saya dan kawan-kawan diberi peluang untuk memilih kelengkapan raya ikut selera masing-masing,” katanya yang tinggal di bawah Pertubuhan Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah (RACTAR) di sini.

Iklan

Syafiqah yang kehilangan bapanya sejak kecil hadir ke pasar raya itu bersama 25 lagi rakannya yang terdiri daripada golongan asnaf dan juga anak yatim.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.

Mengulas lanjut mengenai program yang diadakan, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, program berkenaan diadakan dengan kerjasama pembekal setianya.

Siti Zailah bersama Dr Ameer (kanan) mengayakan pakaian raya kepada Ziyad Zaim Mohd Shukor dan Irfan Iyaz Mohd Shukor selepas selesai majlis Mydin Prihatin Syawal yang diadakan di Pasar Raya Mydin di sini pada Isnin. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

"Bila kita jual barang mereka, keuntungan itu akan disalurkan kepada tabung Mydin Prihatin dan tahun ini kita sasarkan tabung ini akan mencecah RM300,000.

"Sumbangan ini akan disalurkan kepada setiap cawangan Mydin untuk kita pulangkan semula kepada masyarakat kurang bernasib baik serta golongan memerlukan,” katanya.

Sementara itu Siti Zailah berkata, program tanggungjawab sosial dilaksanakan oleh pihak Mydin amat bagus dan wajar diteruskan oleh mana-mana syarikat korporat bagi meringankan beban mereka yang susah dan memerlukan.

Beliau memberitahu, setakat ini terdapat 205 pertubuhan kebajikan sukarela seluru negara berdaftar di bawah JKM telah mendapat geran bantuan tahunan daripada kementerian.