Kes Bella: Mahkamah benar lawat lokasi kejadian Rabu ini

Iklan
Siti Bainun yang berdepan dengan pertuduhan menganiaya dan mengabaikan seorang kanak-kanak perempuan sindrom Down dikenali Bella, akan berada di Rumah Bonda di Wangsa Maju, bersama beberapa pihak lain, Rabu ini.

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin membenarkan permohonan pasukan pembelaan bagi kes menganiaya dan mengabaikan seorang kanak-kanak perempuan sindrom Down dikenali Bella untuk melawat lokasi kejadian yang didakwa berlaku di sebuah kondominium di Wangsa Maju, Rabu ini.

Hakim Izralizam Sanusi berkata demikian selepas membenarkan permohonan peguam, Nur A'minahtul Mardiah Md Nor yang mewakili Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali jumaat lalu.

Iklan
Iklan

Meskipun gambaran kejadian sudah diberi, namun hakim Izralizam berkata, jika berkesempatan ke sana, mahkamah dapat melihat eksibit-eksibit yang dirujuk dengan lebih jelas.

"Adalah wajar untuk saya pergi ke tempat kejadian namun menyentuh isu demonstrasi berhubung kejadian, saya akan lihat dari segi kesesuaian.

Iklan

"Ini kerana mengikut keterangan saksi kelima, (penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood, 19), ia sudah diterangkan dengan jelas,” katanya.

Beliau berkata, lawatan akan dilakukan pada prosiding kes yang dijadual pada jam 10.30 pagi, Rabu ini.

Iklan

Katanya, hanya hakim, jurubahasa, pendakwaan, peguam, saksi dan tertuduh sahaja dibenarkan masuk ke rumah kebajikan tersebut.

Dalam prosiding terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas membantah permohonan pasukan pembelaan untuk ke lokasi tersebut.

Menurutnya, sebarang soal balas atau pertanyaan mengenai kejadian boleh dikemukakan kepada saksi dalam prosiding kelak.

Beliau berkata, tiada jaminan tempat kejadian masih sama kerana kejadian didakwa berlaku pada 2021 dan kes ini sudah berada di peringkat perbicaraan bukan siasatan.

Pembelaan sebelum ini membuat dua permohonan iaitu melakukan demonstrasi kejadian dan melawat Rumah Bonda di Wangsa Maju.

Nur A'minahtul Mardiah berkata, ia penting bagi merungkai keterangan yang menyatakan, beberapa individu berada bersama anak guamnya, di lokasi tersebut.

Menerusi satu kenyataan media, peguam itu berkata, saksi pembelaan kelima telah memberikan deskripsi yang tidak boleh dizahirkan melalui gambar-gambar yang di kemukakan di Mahkamah.

"Ia juga dapat memastikan mahkamah dan pihak-pihak memahami keterangan yang telah serta bakal diberikan di mahkamah.

"Permohonan itu adalah suatu permohonan yang biasa dibuat dalam kes-kes perbicaraan jenayah dan merupakan satu bentuk proses yang dinamakan ‘in the interest of justice’,” katanya.

Turut hadir dalam prosiding ialah Ahli Dewan Negara yang mewakili golongan OKU, Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, sebagai orang yang dipertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Pada 20 November 2021, Pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun.