GURUN - Seorang deejay yang dikenali sebagai DJ Wong atau nama sebenar Noor Aziz Johari, 53, dilaporkan tidak pulang ke rumah di Taman Ria Mesra 2, sejak lima hari lalu.
Isterinya yang juga merupakan pasangan penyampai dikenali sebagai DJ Sal, 47, berkata, mangsa dikatakan secara tiba-tiba 'hilang' ketika sedang membuat persediaan untuk bersiaran langsung di laman sosial Facebook sekitar 9.30 malam Rabu lalu.
Menurutnya, DJ Wong dipercayai memakai kemeja biru dan seluar jean ketika kejadian.
"Masa itu dia minta saya bersiap sebab nak 'live' malam tu, sementara saya berlatih, dia pula beritahu mahu makan nasi.
"Saya lihat dia masuk bilik dan duduk di meja makan seperti dalam keadaan gelisah. Bila dah sampai waktu 'live' saya nak panggil dan cari, dia dah tiada dalam rumah. Saya syak dia keluar melalui pintu belakang," katanya.
DJ Sal berkata, sehingga hari ini ahli keluarga dan rakan-rakan sudah mencari di merata tempat termasuk kampung halaman di Bukit Lada, Pokok Sena, namun tidak ditemui.
Tambahnya, sebelum kejadian tiada sebarang perselisihan faham atau pergaduhan antara mereka berdua yang boleh dikaitkan dengan kehilangan suaminya itu.
"Hubungan kami baik sahaja sebelum ini, saya juga bingung dengan kejadian ini kerana suami saya langsung tidak menunjukkan sebarang tanda sebelum menghilangkan diri.
"Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini dia seperti termenung atau murung," jelasnya.
Pasangan itu yang dikatakan aktif memenuhi jemputan majlis selain mengendalikan siaran langsung menerusi Facebook 'DJ Wong And Sal Bollywood' mempunyai hampir 100,000 pengikut laman sosial.
"Saya merayu mana-mana pihak yang ternampak DJ Wong agar memaklumkan segera kepada kami atau hubungi talian 013-5783727 atau 013-4194818.
"Kami bimbang kerana dia hanya membawa kad pengenalan dan telefon bimbit semata-mata, kereta dan duit pun dia tak bawa," katanya.
DJ Sal berkata, laporan polis mengenai kehilangan suaminya itu telah dibuat di balai polis berdekatan selain turut berikhtiar untuk mencarinya secara tradisional.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan mengenai kehilangan deejay tersebut.