Segera bangunkan Hospital Pasir Gudang: Sultan Ibrahim

Iklan
Sultan Ibrahim ketika bertitah pada istiadat berkenaan, di sini, hari ini. - Foto : Ihsan FB The Royal Johor

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mahu pembangunan Hospital Pasir Gudang yang sudah berada dalam perancangan kerajaan segera dibangunkan.

Sultan Ibrahim bertitah, terdapat keperluan untuk membina sebuah hospital kerajaan di kawasan berkenaan apatah lagi selepas berlakunya insiden tidak diingini di sana, baru-baru ini.

Iklan
Iklan

"Melihat kepada insiden percemaran sisa kimia yang berlaku di Pasir Gudang hingga menjejaskan kesihatan rakyat, maka terdapat keperluan untuk membina sebuah hospital kerajaan di kawasan berdekatan.

"Saya dengar perkara ini telah pun ada dalam perancangan kerajaan. Oleh itu, saya harap pembinaannya akan dapat segera dilaksanakan,” titahnya

Iklan

Baginda bertitah demikian pada Majlis Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Sultan Johor di Dewan Singgahsana Istana Besar, Johor Bahru, di sini, hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah, pihaknya percaya bahawa negeri Johor adalah antara penyumbang utama kepada hasil pendapatan Kerajaan Persekutuan.

Iklan

Oleh itu adalah wajar dan adil jika lebih banyak peruntukan pembangunan disalurkan kepada Johor.

"Perkara itu adalah terutama bagi menaik taraf kemudahan perkhidmatan kesihatan, pengangkutan awam dan jaringan lebuh raya,” titahnya.

Dalam masa sama, Sultan Ibrahim turut menzahirkan rasa dukacita dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang membuang sisa kimia ke dalam Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.

Tuanku Sultan Ibrahim bertitah tindakan itu bukan sahaja mencemarkan sungai dan alam sekitar, malah telah memberi kesan kepada nyawa serta kesihatan penduduk di persekitaraan Pasir Gudang.

Bagi memastikan kejadian seperti itu tidak berulang, Sultan Johor mahu kerajaan segera melaksanakan tindakan kawalan dan penguatkuasaan yang bersepadu terhadap semua kilang yang menggunakan bahan kimia beracun.

"Mana-mana kilang yang gagal mematuhi peraturan pengurusan keselamatan dan alam sekitar, hendaklah diarahkan tutup serta merta.

"Dan untuk jangka masa panjang, saya mahu kerajaan mengkaji semula jenis-jenis industri yang terdapat di Pasir Gudang dengan menutup atau memindahkan industri gas dan bahan kimia mudah meletup serta membahayakan penduduk sekitarnya,” titahnya.

Baginda Sultan Johor turut memberi contoh serta mahu semua pihak mengambil pengajaran daripada peristiwa letupan kilang gas di Bhopal, India pada 1984 yang telah mengorbankan lebih 3,000 nyawa dan lebih 500,000 orang yang sakit akibat terhidu gas kimia beracun.