Bot nelayan asing dikesan cuba seludup 12kg syabu

Iklan
Simon Templer (tengah) menunjukkan pistol angin dan barangan rampasan pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Zon Batu Pahat pada Isnin.

BATU PAHAT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Batu Pahat berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar dadah disyaki syabu di perairan Parit Raja, Pontian di sini, pada Isnin.

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia Negeri Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, dadah seberat kira-kira 12 kilogram itu cuba diseludup keluar menggunakan sebuah bot nelayan asing dinaiki dua suspek yang kemudiannya berjaya meloloskan diri.

Iklan
Iklan

Menurutnya, rampasan dibuat hasil maklumat risikan pasukan yang membuat pemantauan menggunakan bot ronda Maritim kira-kira jam 6.30 pagi.

Dadah disyaki syabu yang ditemui dalam bot nelayan berkenaan.

"Ketika pemantauan, pasukan operasi telah terserempak dengan sebuah bot mencurigakan dikendalikan dua lelaki. Ketika peronda mengarahkan bot berkenaan untuk berhenti, bot tersebut terus memecut laju.

Iklan

"Dua orang suspek kemudiannya melarikan diri ke daratan dan meninggalkan bot di benteng Parit Raja dalam keadaan tenggelam di bahagian belakang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Zon Batu Pahat di sini, pada Isnin.

Simon Templer berkata, pemeriksaan dilakukan pada bot tanpa nombor pendaftaran itu turut menemukan sepucuk pistol angin berisi tiga butir peluru dalam sebuah beg sandang.

Iklan
Bot dipercayai milik nelayan asing yang ditinggalkan dua suspek bagi mengelakkan dicekup pihak berkuasa.

"Selain itu, terdapat tong ikan berwarna oren mengandungi satu bungkusan beg plastik yang di dalamnya berisi 12 peket hablur kaca disyaki dadah jenis syabu. Kesemua hasil rampasan dianggarkan bernilai RM628,800.

"Rampasan kemudiannya dibawa ke Pejabat Zon Maritim Batu Pahat sementara kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal juga mendapati kesemua dadah itu dipercayai cuba diseludup keluar ke Indonesia.

"Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan lagi tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan pelanggaran undang-undang dapat dibanteras,” katanya.