JENGKA - Selepas beberapa tahun tidak menikmati duit raya, peneroka Felda berharap kerajaan memberi perkhabaran positif pada tahun ini dengan pemberian insentif atau duit raya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi.
Walaupun harga komoditi khususnya kelapa sawit sedang tinggi di pasaran, peneroka Felda masih menaruh harapan pemberian duit raya tersebut kali ini.
Bagi Ahmad Awang, 68, dari Felda Jengka 16 di sini, pemberian duit raya itu akan menjadi hadiah bermakna jika ia menjadi kenyataan.
Menurutnya, sudah beberapa kali peneroka tidak menikmati pemberian tersebut seperti yang pernah diperoleh sebelum ini.
"Jika ada tahun ini, memang kami peneroka sangat bersyukur dan bukan hanya saya, ramai peneroka turut menunggu pengumuman tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Dalam pada itu, Ketua Peneroka Felda Sungai Nerek, Sapian Hussin, 66, memberitahu, peneroka Felda sehingga kini masih belum mendengar sebarang berita mengenai pemberian duit raya ini.
"Harap diberikan kerana ia juga salah satu tanda penghargaan terhadap peneroka yang kini majoritinya telah berusia.
"Tidak kisah berapa jumlahnya, sikit atau banyak kami tetap bersyukur jika dapat tahun ini," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud, 61, pula berkata, pemberian imbuhan raya sangat ditunggu-tunggu oleh peneroka di seluruh negara.
"Harga sawit yang meningkat waktu ini bukanlah satu halangan untuk kerajaan memberikan duit tersebut kepada para peneroka.
"Dari segi moral, kerajaan akan dipandang tinggi oleh para peneroka atas usaha ini," katanya.