CHENOR - Merentasi hampir semua daerah di Pahang, sehingga ke Kuala Pahang, peranan Sungai Pahang cukup besar dalam kehidupan penduduk sekelilingnya.
Sungai terpanjang di Semenanjung Malaysia dan ketiga di negara ini terbentuk hasil penyatuan dua sungai utama iaitu Sungai Jelai dan Sungai Tembeling dilihat semakin ‘sakit’ apabila kekeringan setiap kali negara dilanda fenomena cuaca panas melampau.
Timbul persoalan, adakah mampu sungai ini untuk terus berbakti kepada penduduk sekeliling? Berupayakah ia kekal menjadi sumber bekalan air, jalan pengangkutan penduduk sekitar, perikanan, rekreasi dan lokasi pelancongan?
Melihat kepada situasi semasa Sungai Pahang di Kampung Sungai Pesagi, Chenor, kemampuan sungai itu untuk terus berbakti kepada manusia diramal semakin terbatas.
Keadaan sungai yang kering, cetek dan muncul beting-beting pasir sepanjang lebih 3.1 kilometer di kampung itu yang tular di media sosial sehari dua ini telah menimbulkan pelbagai tanggapan dan perasaan.
Tinjauan Sinar Harian semalam mendapati, keadaan itu berlaku sejak awal tahun ini akibat fenomena cuaca panas melampau yang melanda negara.
Dengan suhu mencatatkan 35 darjah celsius semalam, tiada lagi air sungai mengalir laju sebaliknya beting-beting pasir muncul menghiasi permukaan sungai.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pesagi, Abd Rahim Yaakob ketika ditemui Sinar Harian berkata, situasi itu adalah perkara biasa dan pernah berlaku sebelum ini namun kali ini kesannya amat ketara.
"Tetapi, ia (sungai kering) bukan berlaku di keseluruhan kawasan kampung ini dan ia tidak menjejaskan sebarang kegiatan atau aktiviti penduduk kerana segala urusan berjalan macam biasa, yang terjejas adalah penangkap ikan sungai dan pengusaha sangkar ikan. Ini selalu berlaku setiap kali musim panas,” katanya.
Abd Rahim berkata, bila situasi ini berlaku, kawasan sungai kerap menjadi tumpuan orang ramai yang mengambil peluang sungai cetek untuk mengutip etak.
"Kena hati-hati sebab setakat ini sudah ada dua kes mereka yang nyaris lemas kerana terjerlus pasir ketika mengutip etak,” katanya.
Penduduk kampung, Abdul Jabar Osman, 65, ketika ditemui mengakui situasi tahun ini diakui paling teruk berbanding sebelum ini.
"Kali ini musim panas memang terasa bahangnya, tapi aktiviti tetap berjalan macam biasa, tak terjejas,” katanya.
Sementara itu bagi Mohd Yusof Ismail, 55, kewujudan beting pasir itu menjadi lokasi beristirahat buatnya pada waktu malam.
"Malam-malam saya akan datang ke beting pasir, sebab angin kuat dan suhunya sejuk. Seronok dapat berehat kurangkan tekanan,” katanya.