KUALA LUMPUR - Pemandu van sekolah yang terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Baru Pantai (NPE) masih dirawat di zon merah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada Isnin.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Superintendan Zulkafli Chek Lah berkata, selain itu, seramai tiga kanak-kanak yang juga menaiki van sekolah telah mengalami cedera ringan turut mendapatkan rawatan di hospital sama.
"Siasatan awal kemalangan berlaku pada jam 1.45 petang di mana pemandu van sekolah, seorang lelaki berusia 62 tahun bersama 10 pelajar sekolah rendah berusia tujuh hingga sembilan tahun dalam perjalanan menghala ke Jalan Pantai.
"Apabila van tersebut sampai di tempat kejadian, ia telah hilang kawalan dan terbabas serta melanggar batu penghadang di tengah jalan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Zulkafli berkata, akibat kemalangan tersebut seramai tiga penumpang mengalami kecederaan manakala penumpang yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Zulkafli berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Pada Isnin, media melaporkan seorang lelaki warga emas tersepit di tempat duduk pemandu apabila van sekolah yang dinaiki terbabas dan melanggar penghadang jalan raya.
Komander operasi, Pegawai Bomba Kanan II Salmi Abdul Mukhti berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur telah menerima panggilan kecemasan berkaitan insiden itu pada jam 1.24 petang.
"Seramai sembilan anggota dan pegawai bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai bergegas ke lokasi kejadian," katanya.
Beliau berkata, lelaki itu berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dengan menggunakan peralatan khas.