KUALA LUMPUR - Pengurus skuad terjun negara, Datuk Leong Mun Yee, melahirkan kebimbangannya terhadap fasiliti baharu di Pusat Akuatik My Dinh pada Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam, bulan hadapan.
Mun Yee berkata, antara fasiliti yang menjadi kebimbangannya adalah keadaan papan serta platform di venue pertandingan berkenaan.
"Cuma kita risau di Vietnam nanti adalah kesemuanya fasiliti baharu, kita kena uji keadaan papan serta platform dahulu.
"Ini kerana penerjun kita punya kesukaran terjunan agak tinggi dan semua penerjun akan pilih darjah kesukaran yang tinggi,” katanya kepada pemberita di sini, pada Isnin.
Bekas atlet kebangsaan itu juga memaklumkan, barisan kejurulatihan akan membuat keputusan akhir, berhubung acara bakal disertai anak buahnya di Hanoi, selepas menilai persembahan mereka pada ‘Malaysia Invitational Age Group Championships’ di Ipoh, Perak, pada 22 dan 23 April ini.
Selain menyifatkan persiapan kem terjun negara berjalan lancar setakat ini, pembantu jurulatih skuad terjun kebangsaan itu berharap agar kesemua atlet lebih berhati-hati bagi mengelakkan diri daripada mengalami sebarang kecederaan sebelum aksi di Vietnam nanti.
Sementara itu, Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan SEA Hanoi, Datuk Nur Azmi Ahmad yakin terhadap kemampuan Mun Yee dalam membantu skuad negara menyapu bersih kesemua lapan pingat emas ditawarkan tuan rumah.
"Saya percaya pengurus pasukan yang juga bekas atlet Mun Yee sudah tentunya nak tonjolkan diri dan saya lihat dia yakin dengan atlet yang ada,” katanya pada sidang media selepas meninjau persiapan atlet renang, terjun, gimnastik, gimrama, serta wushu di Bukit Jalil pada Isnin.
Sukan SEA Hanoi dijadual berlangsung pada 12-23 Mei ini. - Bernama