KLANG - Polis menafikan dakwaan kononnya tiada tindakan diambil berhubung kejadian melibatkan seorang penarik kereta yang bertindak melanggar kenderaan lain di Taman Klang Utama pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, dakwaan tersebut sama sekali tidak benar dan tidak berasas.
"Kertas siasatan telah dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya dan arahan pertuduhan terhadap suspek berusia 42 tahun akan dilakukan mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan di Mahkamah Klang.
"Jadi, dakwaan konon tiada tindakan diambil terhadap suspek adalah tohmahan yang sama sekali tidak benar," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya, siasatan dijalankan mendapati, kejadian berlaku ketika mangsa dan isteri berada di hadapan sebuah pusat jagaan di Taman Klang Utama.
"Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, kenderaan dinaiki mangsa dan isteri telah dilanggar sebuah kereta jenis Proton Wira.
"Salah seorang suspek bertindak keluar dari Proton Wira tersebut sambil memegang sebatang kayu dan cuba memukul mereka," katanya.
Menurutnya, bimbang dengan kejadian, mangsa bersama isteri dan seorang anak mereka kemudian terus melarikan diri menuju ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara.
"Suspek bertindak agresif dengan mengejar mangsa dan menghimpit kenderaan dinaiki.
"Bagaimanapun tindakan suspek membawa padah apabila diberkas kira-kira jam 8 malam pada hari sama," katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan.
Pada Isnin, seorang individu mendakwa tiada sebarang tindakan terhadap kepada suspek meskipun beberapa laporan polis dilakukan kepadanya sebelum ini.
Individu berkenaan yang merupakan Pengerusi Kebangsaan Persatuan Harapan Malaysia mengeluarkan dakwaan berkenaan menerusi rakaman video yang tular.