Dah sampai masa guna khidmat pengadil pro

Iklan
Pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali memberi arahan supaya pemain KL City FC, Kenny Pallraj Davaragi untuk keluar padang selepas dilayangkan kad merah kepadanya kerana mengasari pemain Johor Darul Ta’zim pada saingan Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur minggu lalu. - Foto Bernama

PENGLIBATAN pengadil profesional dilihat sebagai antara langkah terbaik bagi meningkatkan mutu pengadilan sekiranya teknologi video bantuan pengadil (VAR) tidak dapat digunakan dalam masa terdekat.

Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak seharusnya melengahkan usaha untuk keterlibatan pengadil profesional dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Iklan
Iklan

"Sepatutnya kita sudah kena ada pengadil profesional mengadili perlawanan liga. Sudah berapa tahun liga kita sudah bertukar jadi profesional tetapi masih menggunakan pengadil amatur untuk mengadili perlawanan.

"Bukanlah saya kata pengadil amatur ini tidak bagus, tetapi ada sesetengah mereka ini kadangkala gagal menjalankan tugas dengan baik sebab beranggapan pekerjaan ini hanyalah kerja sambilan. Kalau mereka kena gantung tiga bulan, mereka masih ada kerja lain.

Iklan

"Berbanding dengan pengadil profesional ini, mereka akan lakukan tugas mereka dengan penuh tanggungjawab sebab itu adalah hanya satu-satunya pekerjaan. Jadi kalau mereka tak lakukan tugas dengan betul, kemungkinan mereka tidak akan disambung kontrak.

"Situasi ini secara tidak langsung akan buat pengadil itu takut untuk buat salah, sekali gus ia dapat membantu mutu pengadilan liga dalam Liga-M sementara nak tunggu VAR diimplementasikan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Iklan

Isu mutu pengadilan kembali hangat diperkatakan susulan keputusan kontroversi pengadil dengan terbaharu ketika aksi Liga Super antara Sri Pahang FC dan PJ City FC di Stadium Darul Makmur pada Sabtu.

Sebelum itu, kontroversi turut tercetus melibatkan keputusan pengadil perlawanan ketika aksi Liga Super yang menemukan Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sri Pahang di Stadium Darul Aman pada Rabu lalu.

Dalam pada itu, Mohd Azraai berpandangan FAM tidak seharusnya melengah-lengahkan penggunaan VAR memandangkan beberapa negera jiran seperti Thailand sudah mengguna pakai teknologi tersebut.

"Teknologi VAR masih diperlukan oleh pengadil dalam membantu mereka untuk membuat keputusan tepat. Walaupun nanti kita ada pengadil profesional, saya sangat berharap agar penggunaan teknologi VAR dapat dipercepatkan.

"Sebab kalau kita lihat negara jiran termasuk di Thailand, VAR ini sangat membantu pengadil membuat keputusan tepat dan ia secara tidak langsung dapat mengelakkan keputusan kontroversi pengadil,” jelasnya.