Pelancong terlibat kempen cegah jenayah syariah takzir

Iklan
kl

KUALA TERENGGANU - Kempen pencegahan jenayah syariah takzir turut tertumpu kepada warga asing terutamanya pelancong yang datang ke negeri ini.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Nik Zuhaiza Ismail berkata, mereka akan diberi penerangan berkaitan kesejahteraan agama Islam dan beberapa perkara dilarang agar dapat menghormati hak orang Islam dalam masyarakat di sini.

Iklan
Iklan

Katanya, pihaknya menumpukan kempen pencegahan di beberapa lokasi melibatkan pulau-pulau di negeri ini yang menjadi tumpuan pelancong sama ada tempatan mahupun luar negara.

"Kebiasaannya, gaya hidup apabila berada di kawasan pulau agak bebas terutama dari aspek penjagaan aurat, tidak kiralah orang tempatan mahupun warga asing.

Iklan

"Susulan itu, kami mengadakan kempen dengan memberitahu pengunjung agar menutup aurat ketika menjalankan aktiviti di sini terutamanya sewaktu mandi di laut.

"Selain itu, kita juga mengingatkan agar tidak melakukan perkara-perkara termasuk dalam kesalahan jenayah syariah takzir seperti minum arak, khalwat, meninggalkan solat fardhu Jumaat dan lain-lain," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini sempena kempen pencegahan di Pulau Kapas, di sini.

Iklan
Anggota penguatkuasa turut menyerahkan tamplet kepada pelancong warga asing di Pulau Kapas, di sini.

Jelasnya, seramai 17 anggota penguat kuasa JHEAT terlibat dalam kempen tersebut dengan mengedar risalah dan memberi penerangan kepada pengunjung.

"Sepanjang kempen itu, dianggarkan seramai lebih kurang 700 orang dijumpai berada di sepanjang pantai di pulau tersebut.

"Kita dapati kebanyakan daripada mereka datang berkeluarga dan berkumpulan," katanya.

Menurut Nik Zuhaiza, pihaknya akan meneruskan kempen sebegini di pulau-pulau dan akan dibuat secara berkala.

"Kita nampak kempen ini amat berkesan dibuat di pulau-pulau kerana pengunjung-pengunjung berada dalam keadaan santai dan berkumpulan di sepanjang pantai.

"Ini sekali gus memudahkan kami menemui individu untuk menyerahkan risalah dan berkomunikasi dengan mudah," katanya.

Nik Zuhaiza berkata, kempen yang digerakkan ini turut bertujuan mengubah pemahaman masyarakat yang sebelum ini sering beranggapan penguatkuasaan syariah hanya menangkap orang berkhalwat semata-mata.

"Sedangkan kami juga bertanggungjawab dan berperanan memberi penerangan serta kempen kesedaran kepada masyarakat," katanya.