KUALA NERUS - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan lawatan sempena Majlis Santai Bersama Bossku Datuk Seri Najib Tun Razak di Pasar Batu 6, di sini, hari ini.
Ketibaan beliau di Pasar Batu 6 juga merupakan antara salah satu kubu kuat Pas Terengganu itu disambut oleh barisan pemimpin UMNO negeri dan juga penduduk serta peniaga di pasar.
Beliau berkata, majlis itu diadakan bagi mengubat kerinduannya terhadap rakyat Terengganu khususnya di daerah Kuala Nerus.
"Saya naik teksi tadi dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, supir saya istimewa, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri sendiri, Datuk Seri Ahmad Said. Pemilik teksi duduk belakang.
"Jalan laju sebab ada 'rider'. Sampai di sini saya dapat tengok pasar, dapat jabat tangan. Umumnya di sini mereka rasakan bahawa zaman BN lebih baik lagi. Kita tahu bagaimana nak uruskan negara.
"Bila PH jadi pembangkang mereka kritik kita macam-macam, apa lagi fitnah demi fitnah, pembohongan demi pembohongan. Hari ini terbukti bahawa BN jauh lebih baik dari mereka," katanya.
Bekas Presiden UMNO itu kemudiannya meminta rakyat yakin dengan perjuangan UMNO malah parti itu membuka lembaran baharu apabila menjalinkan kerjasama di antara UMNO dan Pas.
"Itu menyebabkan orang Islam rasa lebih selamat sebab agama kita sedang diancam, kedudukan institusi kita juga diancam. Orang Melayu dan Islam dihina, Rasulullah sendiri juga dihina.
"Jadi kita semua kena bangkit pertahankan Islam, agama, negara dan kita tidak melakukan kezaliman kepada kaum-kaum yang lain. Kita berlaku adil kepada kaum-kaum lain, betul tak betul?
"Disamping itu kita pertahankan apa yang termaktub dalam Perlembagaan negara. Itu jadi penduan kita. Jadi saya harap tuan-tuan.. Terima kasih sambut saya dengan begitu meriah sekali," katanya.
Beliau juga membayangkan UMNO akan menang besar pada PRK Rantau susulan kejayaan parti itu menang di PRK Cameron Highlands dan PRK Semenyih sebelum ini.
"Jika kita terus trend ini menunjuk bahawa kita berada dalam perjalanan kebangkitan semula sebuah parti pimpinan yang dominan dalam negara.
"Kebangkitan semula parti yang dominan di tanah air. Kerjasama ini (Pas dan UMNO), dengan kebangkitan semula UMNO, pimpinan yang kita susun semula di peringkat negeri dan bahagian.
"Insya-ALLAH masa depan kita tetap cerah dan siapa yang lompat parti, pening lalat (goyah)... Biarlah si luncai dengan labu-labunya. Kita teruskan dengan perjuangan kita," katanya.
Selepas majlis berkenaan beliau kemudiannya ke Kuala Berang, Hulu Terengganu.