KESATUAN Bola Sepak Eropah (UEFA) mengarahkan Atletico Madrid supaya menutup sebahagian tempat duduk penyokong di Stadium Wanda Metropolitano apabila mereka menjadi tuan rumah pada perlawanan timbal balik Liga Juara-Juara menentang Manchester City awal pagi Khamis.
UEFA dalam satu kenyataan memaklumkan arahan tersebut dikeluarkan sebagai tanda hukuman kepada Atletico susulan tindakan penyokongnya melakukan 'tingkah laku diskriminasi' semasa perlawanan pertama suku akhir mereka di Manchester City.
Iklan
Iklan
"Atletico Madrid akan dimaklumkan untuk menutup sekurang-kurangnya 5,000 tempat duduk susulan tindakan penyokongnya melakukan tingkah laku diskriminasi pada perlawanan menentang City sebelum ini.
"Kelab juga dikehendaki untuk mempamerkan sepanduk dengan perkataan ‘#NotoRacism’ dengan logo UEFA di atasnya pada perlawanan tersebut," katanya.
Bagaimanapun UEFA memberi jaminan larangan tersebut tidak akan memberi kesan kepada penyokong City yang hadir ke stadium tersebut.
Terdahulu, media Sepanyol melaporkan beberapa penyokong Atletico dilihat memberi isyarat tabik Nazi ketika pasukan mereka kalah 1-0 kepada City.
Ini bukan kali pertama Atletico dikenakan hukuman seperti itu memandangkan pasukan tersebut sebelum ini dihukum dengan cara yang sama selepas penyokong mereka membentangkan sepanduk perkauman pada perlawanan akhir Liga Europa 2018.