Youtuber disyaki bunuh kekasih: Kertas siasatan siap minggu ini

Iklan
Kamarul

GEORGETOWN - Polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes seorang Youtuber yang disyaki memukul teman wanitanya sehingga maut.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, kertas siasatan itu dijangka dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) minggu ini.

Iklan
Iklan

"Ia (kertas siasatan) akan dirujuk ke DPP dalam minggu ini sebelum tempoh reman berakhir," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Menurut beliau, empat lelaki termasuk seorang Youtuber terkenal disambung reman lima hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan kes yang berlaku dua minggu lalu.

Iklan

"Perintah tahanan reman ke atas suspek berusia 23 hingga 28 tahun itu dilakukan di Mahkamah Majistret di sini.

"Tiada tangkapan baharu dibuat setakat ini," katanya.

Iklan

Pada 5 April lalu, empat lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes seorang wanita yang meninggal dunia akibat dipukul dalam kejadian 2 April lalu.

Mereka ditahan di sekitar Teluk Kumbar pada 3 dan 4 April selepas polis menerima satu laporan pada 10.39 malam, 2 April daripada seorang doktor dari Hospital Balik Pulau mengenai keadaan mangsa.

Mangsa yang berusia 20 tahun dikejarkan ke hospital selepas tidak sedarkan diri dan pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam di kepala serta badan.

Mangsa dikatakan dipukul dengan objek tumpul dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.