EKONOMI Malaysia dijangka mengukuh tahun ini sejajar dengan usaha negara memasuki fasa peralihan ke endemik yang dimulakan dengan langkah pembukaan semula sempadan antarabangsa.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjur berkembang sekitar 6.0 peratus (2021:3.1 peratus) bagi tahun ini, manakala KDNK suku pertama dijangka mencatat pertumbuhan 5.0-6.0 peratus (2021:-0.5 peratus).
Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng berkata, momentum pertumbuhan tersebut disokong oleh penggunaan dan pelaburan swasta lebih kukuh dalam persekitaran sentimen lebih positif dan prospek secara keseluruhannya.
"Sektor berasaskan sumber serta komoditi, terutama minyak sawit, getah serta minyak dan gas (O&G) dijangka berkembang berikutan peningkatan harganya,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, sektor elektrikal dan elektronik juga dijangka terus meraih manfaat susulan pengukuhan permintaan eksport apabila permintaan bekalan elektronik global yang kekal terjejas manakala sektor perkhidmatan (termasuk import dan eksport perkhidmatan) juga diunjur menyaksikan permintaan lebih tinggi pada tahun ini selepas ekonomi dibuka semula.
Kim Leng juga menyifatkan fasa peralihan negara ke endemik itu akan memberi kesan limpahan terhadap pelbagai industri.
"Sebagai contoh, industri penerbangan, hospitaliti dan berkaitan pelancongan dijangka bangkit daripada prestasi suram selama dua tahun dan mencatat pencapaian lebih baik ketika mereka membina semula lembaran imbangan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata, keadaan itu turut memberi peluang kepada sektor runcit.
Malah, Kim Leng berkata, langkah menarik balik sekatan di sempadan juga dapat memberi kemudahan bagi aktiviti perniagaan rentas sempadan, perkhidmatan dagangan dan berkaitan pelaburan selain membabitkan usaha penggabungan dan pengambilalihan.
Menurutnya, walaupun Malaysia tidak mendapat kesan langsung daripada konflik Rusia-Ukraine, gangguan terhadap pasaran tenaga dan komoditi global berserta usaha mengelak risiko yang ketara, berkemungkinan memberi kesan jangka pendek ke atas inflasi, perolehan eksport dan pasaran kewangan negara.
Selain itu, Kim Leng berkata, kesan negatif pusingan kedua ke atas pertumbuhan global berkemungkinan menjejaskan prospek luaran bagi Malaysia yang bercirikan ekonomi terbuka.
"Pasaran komoditi dan kewangan akan menyaksikan ketidaktentuan lebih ketara biarpun peningkatan harga komoditi, termasuk O&G adalah positif untuk pendapatan eksport Malaysia dan meningkatkan lagi lebihan akaun semasa.
"Biarpun aliran masuk portfolio asing jangka pendek dijangka meningkat susulan pempelbagaian risiko geopolitik yang dilihat memihak kepada pasaran Malaysia, namun perubahan pasaran diunjur ketara berikutan peningkatan risiko geoplitik, pertumbuhan dan dasar dalam keadaan semasa,” katanya.
Sementara itu, Kenanga Research berkata, bagi kemajuan masa depan, prospek ekonomi negara yang kukuh akan turut merangsang prestasi ringgit yang diunjur mengukuh kepada 4.10 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada 4.17 tahun lepas walaupun dalam ketidaktentuan yang ketara.
Menurutnya, ia kekal berhati-hati terhadap pasaran tempatan dan mengunjurkan ringgit terus diniagakan di bawah tekanan dalam beberapa bulan akan datang akibat faktor ketidaktentuan pasaran susukan krisis Eropah Timur, langkah China melaksanakan sekatan pergerakan ketat bagi membendung Covid-19 serta sentimen Rizab Persekutuan Amerika Syarikat yang cenderung ke arah menaikkan kadar faedah.
Mengulas kadar dasar semalaman, Kenanga Research berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) berkemungkinan besar menaikkan kadar itu pada suku ketiga 2022 selepas petunjuk ekonomi memaparkan pemulihan yang mampan.
"Langkah pembukaan semula sempadan Malaysia pada 1 April selain pendirian dasar akomodatif BNM yang berterusan, dilihat dapat meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi dalam separuh kedua tahun ini,” katanya dalam nota tinjauannya. - Bernama