PENGENDALI Liverpool tidak menolak kemungkinan untuk melakukan penggiliran pemain bagi mengharungi aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara berdepan Benfica di Anfield pada Khamis sebelum membuat perhitungan dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City di Etihad, hujung minggu ini.
Menurut Klopp penggiliran pemain mungkin tidak dapat dielakkan dalam usaha memastikan kesebelasan terbaik The Reds dapat beraksi pada kedua-dua perlawanan penting itu.
"Ia nampak mudah, tetapi perlu lakukannya (penggiliran) dan memastikan hanya pemain-pemain terbaik atau lebih tepat yang bersesuaian beraksi.
"Kedua-dua perlawanan ini penting dan kesemua pemain diharap bersedia untuk melalui proses ‘penggiliran’ nanti,” katanya.
Untuk rekod, Liverpool menang 3-1 ke atas Benfica pada aksi suku akhir pertama di Estadio Da Luz, 6 April lalu.
Kemenangan itu turut menyaksikan skuad The Reds berkenaan membawa bekal selesa hasil jaringan di tempat lawan.
Sementara itu Klopp tetap mengingatkan pemain agar sentiasa berhati-hati di sepanjang perlawanan agar tidak terperangkap dengan corak taktikal lawan.
Katanya, berdasarkan kepada laporan yang diterima, Benfica bakal menurunkan kesebelasan terkuatnya bagi aksi suku akhir kedua itu.
"Biarpun kami memiliki kelebihan, tetapi itu tidak menjanjikan apa-apa kerana tidak tahu perancangan pihak lawan.
"Lagi pun, difahamkan Benfica tidak menurunkan enam tonggak mereka dalam saingan liga semata-mata mahu memastikan mereka dapat beraksi dalam kesebelasan utama nanti,” katanya.