45 mangsa penipuan kerja masih terkandas di luar negara

Iklan
Abd Jalil (tengah) bersama Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar Negeri, Datuk Amran Mohamed Zin ketika sidang media mengenai kepulangan 12 daripada 16 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan tawaran kerja di Kemboja di klia2 pada Selasa. - Foto Bernama

SEPANG - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 35 laporan membabitkan 45 rakyat tempatan yang masih terkandas di beberapa negara selepas menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran kerja.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, ada antaranya yang terperangkap di negara seperti Myanmar, Thailand dan Laos.

Iklan
Iklan

Menurutnya, polis akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara terbabit dan Polis ASEAN (ASEANAPOL) bagi membantu semua mangsa terlibat.

"Ingin saya nyatakan di sini bahawa baki-baki yang kita tahu, mereka-mereka yang masih terkandas di negara yang kita ketahui, kita akan laksanakan kerjasama dengan polis-polis yang kita ketahui dan melalui Polis ASEAN (ASEANAPOL) yang berpangkalan di Kuala Lumpur. Insya-ALLAH," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang media di Balai Ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), pada Selasa selepas menyambut ketibaan 12 rakyat Malaysia yang diselamatkan selepas menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran kerja di Kemboja.

Mengulas lanjut, Abd Jalil berkata, masih ada waris yang belum tampil membuat laporan polis berhubung kehilangan ahli keluarga mereka.

Iklan

"Ingin saya nasihatkan kepada mereka yang mempunyai maklumat tambahan, jika ada waris-waris mereka yang terkandas di negara-negara bukan setakat di ASEAN tetapi juga di mana-mana negara, sila lapor segera kepada pihak polis agar kita dapat bersama-sama dengan pihak berkuasa luar, bagi mengesan dan membantu membawa pulang mereka ke tanah air dengan selamat.

"Kita minta mereka tampil ke depan untuk membuat laporan bagi memudahkan pihak kita mengesan di mana kedudukan waris mereka yang terkandas di negara-negara berkenaan," katanya.

Pada Sabtu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengesahkan 16 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan luar negara sedang disoal siasat pihak berkuasa di Kemboja.

Saifuddin berkata, pihaknya sudah mengenal pasti kesemua individu terbabit dan mengesahkan semua mangsa berada dalam keadaan yang baik.