SKUAD negara mempamerkan peningkatan sepanjang mengharungi kempen Piala Dunia Remaja Wanita di Potchefstroom, Afrika Selatan yang menyaksikan Malaysia mengakhiri cabaran di tempat ke-11 selepas menewaskan Zimbabwe, 7-2 pada perlawanan penentuan kedudukan ke-11/12.
Malah menurut pengendali skuad negara, Nasihin Nubli Ibrahim, pengalaman dan pendedahan tertinggi dimiliki para pemainnya dilalui dengan baik selain menunjukkan peningkatan demi peningkatan dalam setiap perlawanan.
"Perlawanan hari ini kami memang merancang memberikan yang terbaik tidak mengira apa pun yang akan berlaku. Permulaan pemain bermula dengan sedikit kucar kacir serta gemuruh.
"Kami akui Zimbabwe memiliki penyerang yang pantas jadi kami mengatur strategi memberikan tumpuan pada bahagian tengah. Suku kedua kami mula menjaringkan gol demi gol.
"Usaha ditunjukkan para pemain sangat bagus dan mereka memberikan segalanya serta mengikuti struktur perlawanan dirangka dengan sebaiknya. Pemain juga bermain dengan tenang di separuh masa kedua dan mencipta beberapa peluang serta menjaringkan gol.
"Terima kasih kepada barisan kejurulatihan yang banyak membantu dalam menganalisis perlawanan dan terima kasih Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) di atas kepercayaan kepada pasukan muda ini,” kata Nasihin Nubli
Pada perlawanan itu, gol Malaysia dijaringkan Siti Nur Arfah Mohd Nor pada minit ke-10, Nur Insyirah Effarizal (22'), Nuramirah Shakirah Zulkifli (23', 48'), Afiqah Syahzani Azhar (39'), Dayang Nuramirah Abang Mahadini (41') dan Khairunnisa Ayuni Mohd Shahruddin (53').
Sementara gol Zimbabwe dijaringkan Tinodiwanashe Elijah (2') dan Alexi Terblanche (15').