MELAKA - Sindiket Macau Scam berjaya memperdaya dua individu termasuk seorang warga emas wanita berusia 60 tahun sehingga berlaku kerugian keseluruhan lebih RM250,000.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan E Sundra Rajan berkata, sindiket terbabit menyamar sebagai pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mendakwa butiran diri mangsa telah digunakan oleh orang lain untuk tujuan pendaftaran penerimaan vaksin.
Menurutnya, suspek kemudian mengarahkan mangsa untuk memberikan kerjasama dengan pihak yang menyamar sebagai KKM untuk menyiasat perkara tersebut.
Katanya, mangsa seterusnya dihubungkan dengan panggilan telefon kepada seorang individu yang menyamar polis untuk membuat pengesahan lanjut, selain mendakwa butiran diri mangsa terlibat dengan kes jenayah pengubahan wang haram.
"Sindiket juga mengarahkan mangsa memberikan segala maklumat akaun kononnya bagi tujuan semakan audit.
"Setelah mangsa memberikan butiran maklumat nombor akaun bank, nombor pin dan kata laluan perbankan dalam talian, pindahan wang dibuat ke akaun yang digunakan suspek," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.
Jelasnya, mangsa menyedari diri mereka ditipu lalu masing-masing membuat laporan polis di Balai Polis Batu Berendam dan Balai Polis Simpang Ampat, Alor Gajah pada Jumaat lalu.
Menurutnya, dua laporan polis yang diterima melibatkan modus operandi sama dengan kerugian RM12,000 membabitkan seorang pelajar lelaki manakala warga emas tersebut mengalami kerugian wang simpanannya berjumlah RM247,000.
"Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
"Setakat tahun ini sebanyak 93 laporan polis telah diterima dengan nilai kerugian RM3.21 juta berkaitan penipuan Macau Scam," katanya.