SHAH ALAM - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) supaya mendaulatkan institusi raja-raja Melayu agar ia sebati dalam jiwa anak-anak muda.
Baginda yang juga Canselor UiTM bertitah ini kerana institusi raja-raja Melayu adalah merupakan identiti tamadun pemerintahan negeri beraja yang menjadi payung kepada perpaduan dan penyatuan rakyat.
"Identiti ini perlu terus disubur dan ditanam dalam setiap jiwa anak-anak muda khususnya para graduan universiti ini.
"Sebagai sebuah universiti yang kaya dengan warisan sejarah, universiti ini hendaklah sentiasa menyuntik nafas dinamik dalam pembentukan acuan masyarakat berbilang bangsa dan agama yang bersatu padu dibawah payung pemerintahan beraja," titah Seri Paduka pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen UiTM kali ke-90, di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) di kampus induk UiTM di sini, hari ini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar dan Sultan Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah.
Yang di-Pertuan Agong bertitah hanya melalui kesatuan dan perpaduan sahaja, Malaysia akan terus mengorak langkah merintasi segala halangan menuju ke mercu kejayaan.
Dalam pada itu, baginda turut menitahkan graduan UiTM supaya bekerja keras dalam setiap kerjaya yang bakal diceburi mereka.
Baginda bertitah ia kerana tiada jalan pintas dalam mengecapi sesuatu kejayaan dan rahsia untuk berjaya dalam kehidupan perlu ada sifat usaha, taqwa dan mulia.
"Keperibadian inilah yang wajib dijunjung oleh setiap graduan dalam mengharungi alam pekerjaan dan liku-liku kehidupan.
"Selain itu, UiTM yang dibangunkan atas semangat untuk memartabatkan bangsa, turut wajar untuk menerapkan nilai-nilai perpaduan dan penyatuan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama," titah baginda.
Sementara itu, dalam istiadat konvokesyen tersebut Sultan Brunei dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kepimpinan Islam universiti itu.
Penganugerahan ijazah kehormat itu disampaikan Yang di-Pertuan Agong, bagi mengiktiraf pencapaian Sultan Hassanal Bolkiah sepanjang lima dekad memerintah Brunei dengan jayanya dalam pelbagai bidang seperti agama, politik, ekonomi, pendidikan dan kesihatan.
Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan tahniah kepada Sultan Brunei dan baginda bertitah falsafah 'Melayu Islam' dalam pentadbiran negara dan sosio budaya, telah berjaya membentuk identiti negara, bangsa dan tamadun Brunei yang berasaskan kepada ajaran Islam.
"Sesungguhnya, bidalan Melayu lama 'Raja soleh pembawa berkat' adalah ungkapan yang tepat mencerminkan pemerintahan paduka Ayahanda (Sultan Brunei) sehingga membawa kemakmuran kepada negara Brunei," titah baginda.
Sebanyak 22,594 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing pada majlis konvokesyen UiTM kali ini.- Bernama