Kerajaan dicadang tubuh suruhanjaya bebas bela OKU: Ras Adiba

Iklan
Ras Adiba Radzi

KUALA LUMPUR - Kerajaan dicadang membentuk sebuah suruhanjaya bebas yang dipertanggungjawabkan kepada Parlimen untuk memantau pelaksanaan perkara berkaitan pembangunan orang kurang upaya (OKU) termasuk Akta OKU 2008.

Senator Datuk Ras Adiba Radzi yang mewakili komuniti OKU di Dewan Negara menerusi kenyataan pada Selasa berkata, penubuhan suruhanjaya itu akan membolehkan golongan berkenaan menyalurkan sebarang bentuk aduan, rayuan dan petisyen berkaitan pelanggaran hak OKU.

Iklan
Iklan

"Suruhanjaya untuk OKU ini mesti diberikan kekuatan dan sumber daya, serta kuasa untuk menyiasat aduan pelanggaran hak OKU selaras dengan Undang-undang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ketika ini, kerap berlaku isu diskriminasi, pelanggaran hak OKU, penderaan kanak-kanak OKU dan sebagainya.

"Perkara ini wajar dilaksanakan dengan kadar segera oleh kerajaan bagi melindungi hak dan kebajikan komuniti OKU di negara ini dan akan menjadi titik tolak dalam menyelesaikan pelbagai isu dan permasalahan OKU termasuk penderaan kanak-kanak OKU,” katanya.

Iklan

Presiden OKU Sentral itu berkata, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang mempunyai peranan luas, tidak dapat memberikan tumpuan khusus kepada isu dan permasalahan OKU di negara ini.

Memberi contoh di India, Ras Adiba berkata, suruhanjaya khas untuk OKU ditubuhkan di bawah Kementerian Keadilan Sosial dan Pemerkasaan dengan Ketua Pesuruhjaya diberi mandat menyelaras kerja Pesuruhjaya OKU Negeri, memantau penggunaan dana serta mengambil langkah melindungi hak dan kemudahan bagi OKU.

Beliau turut mengusulkan penubuhan tribunal untuk OKU, membabitkan pakar dalam isu hak golongan itu bagi menangani kes-kes yang melibatkan pelanggaran Akta OKU 2008.

Iklan

"Tribunal ini memberikan akses keadilan yang jauh lebih murah dan cepat serta kurang menimbulkan masalah dan tekanan berbanding mahkamah biasa.

"Bagi merealisasikan komitmen kerajaan menerusi slogan Keluarga Malaysia, saya berharap agar kerajaan dapat melipatgandakan usaha, dalam memperkasakan komuniti OKU di Malaysia,” katanya. - Bernama