IPOH - Kerajaan Perak tidak berhasrat menetapkan sebarang peraturan khusus untuk membenarkan kanak-kanak ke bazar Ramadan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, semua pihak masih terikat dengan peraturan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
Menurutnya, biarpun negara dalam fasa peralihan endemik, orang ramai tetap dinasihatkan berwaspada.
"Tambahan pula terdapat varian baharu XE yang didapati lebih mudah berjangkit, jadi kena berhati-hati," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Stadium Indera Mulia, di sini pada Selasa.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Pegawai Kewangan negeri, Datuk Zulazlan Abu Hassan.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan kerajaan negeri Melaka yang menguatkuasakan peraturan dan kaedah membawa kanak-kanak ke bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri.
Dalam pada itu, mengenai kejadian kebakaran sebuah bangunan Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Al Rahmaniah di Kampung Datok di sini pada Jumaat lalu, Saarani berkata, pihaknya telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) melakukan kajian terperinci terhadap struktur bangunan tersebut sama ada kukuh atau sebaliknya.
Menurutnya, kejadian kebakaran itu bagaimanapun tidak mengganggu sesi persekolahan kerana proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan di dewan berhampiran.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan turut membantu pihak sekolah menyediakan beberapa set kerusi dan meja baharu menggantikan yang musnah dalam kebakaran tersebut.