Pengurus anak syarikat TNB mengaku tak bersalah kemuka tuntutan palsu

Iklan
Seorang pekerja kontrak pembinaan dipenjara tiga tahun kerana menghantar komunikasi lucah melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook.

KUALA LUMPUR - Seorang pengurus sebuah anak syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan mengemukakan tuntutan elaun lojing dan saraan palsu berjumlah RM1,855, dua tahun lepas.

Norhayati Hamzah, 50, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan utama dan pilihan yang dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan utama, Norhayati sebagai pengurus di TNB Power Generation Sdn Bhd didakwa telah menggunakan empat dokumen yang mengandungi tuntutan elaun lojing dan saraan palsu bertarikh antara 22 Disember 2019 dan 5 Februari 2020 berjumlah keseluruhan RM1,855 dengan niat untuk memperdayakan Pengurus Jabatan Audit dan Pematuhan di syarikat tersebut, Mohd Kamal Zulkawi.

Dokumen dengan butir matan palsu itu digunakan Norhayati untuk mengelirukan Mohd Kamal sedangkan tertuduh tahu sebenarnya perjalanan dan lojing tersebut tidak dibuat.

Iklan

Kesalahan itu dilakukan di pejabat TNB Power Generation Sdn Bhd di Bangunan Penjanaan, Jalan Bangsar di sini antara 17 Januari dan 26 Februari 2020.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabit kesalahan.

Wanita itu juga didakwa atas pertuduhan pilihan menggunakan empat dokumen tulen mengandungi tuntutan elaun lojing dan saraan sama yang tertuduh tahu ia mengandungi butiran palsu di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Iklan

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fadhli Ab Wahab sebelum itu menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta dua syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM berdekatan.

Peguam K Komagan yang mewakili Norhayati memohon jaminan rendah dalam lingkungan RM3,000 hingga RM5,000 atas alasan anak guamnya masih bekerja dengan TNB Power Generation Sdn Bhd dan tidak mempunyai sebarang isu tatatertib dengan syarikat tersebut.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta dua syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan selain menetapkan 12 Mei depan untuk sebutan semula kes. - Bernama