KUALA LUMPUR - Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia (i-Biaya) memberi fokus untuk meningkatkan pemilikan rumah terutama dalam kalangan rakyat berpendapatan rendah (B40), sederhana (M40) serta pekerja sektor tidak formal.
Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Azhar Ahmad berkata, inisiatif tersebut melibatkan Program Pemilikan Kediaman (HOPE) dengan kerjasama pelbagai rakan strategik.
"Program ini selari dengan hasrat kerajaan dalam memastikan matlamat Satu Keluarga, Satu Rumah dapat dicapai.
"Ia juga merupakan medium yang menyokong penyediaan 500,000 unit rumah mampu milik seperti yang disasarkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12),” katanya pada sesi taklimat media sempena Majlis Pelancaran i-Biaya pada Selasa.
Mengulas lanjut, Azhar berkata, program HOPE memberi fokus kepada empat komponen iaitu penyediaan perumahan, inisiatif i-Biaya, program serta polisi.
Menurutnya, komponen penyediaan perumahan melibatkan projek perumahan berharga RM300,000 dan ke bawah yang ditawarkan kerajaan mahupun swasta.
"Tiga skim pembiayaan ditawarkan menerusi i-Biaya iaitu Skim Jaminan Kredit Perumahan oleh Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) Berhad, Skim Rumah Pertamaku (SRP) oleh Cagamas SRP Berhad dan Skim Rent-to-own (RTO) oleh Perbadanan PR1MA Malaysia.
"Pembiayaan merupakan perkara penting kerana bila rumah ada, tetapi pembeli tidak ada kemudahan pembiayaan yang boleh diperoleh, maka tidak lengkap dari segi proses. Golongan B40 dan M40 selalunya menghadapi masalah akses untuk mendapatkan pembiayaan.
"Antara faktor tidak dapat pembiayaan perumahan kerana rekod kredit bakal pembeli atau pemohon lemah selain dokumen tidak lengkap untuk menyokong ataupun pembayaran balik seperti dikehendaki institusi kewangan,” katanya.
Dalam pada itu, Azhar memaklumkan, Majlis Pelancaran i-Biaya yang akan berlangsung pada Khamis ini akan dirasmikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bersama Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Sementara itu, mengulas mengenai ketersediaan perumahan semasa, Azhar memaklumkan, ketika ini terdapat 386,000 rumah mampu milik daripada sasaran 500,000 unit menjelang 2025 untuk golongan B40 dan M40.
Katanya, ia menjadikan 77.2 peratus stok rumah mampu milik sudah tersedia ketika ini dan bakinya, kerajaan bersama pihak swasta akan mencari jalan untuk menyediakan kemudahan itu.