LIPIS - Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun terpaksa menanggung kesakitan sejak Isnin lepas selepas cincin besi yang dipakainya tersangkut pada jari manis tangan kanannya.
Situasi tersebut menyebabkan jari remaja itu membengkak dan dia terpaksa mendapatkan bantuan pihak bomba untuk mengeluarkan cincin berkenaan.
Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Penguasa Bomba Shahrul Nizam Nasir berkata, remaja itu datang bersama warisnya ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Lipis kira-kira jam 11 pagi pada Selasa.
Menurutnya, cincin tersebut berjaya dikeluarkan selepas dipotong menggunakan peralatan khas yang mengambil masa kira-kira lima minit.
"Kita berharap ibu bapa di luar sama memantau keadaan anak-anak dengan tidak menjadikan cincin besi keras sebagai satu perhiasan.
"Telah banyak kes seumpama ini berlaku dan dapatkan bantuan jika berdepan situasi sebegini," katanya.