Presiden MIASA diiktiraf pada Majlis Anugerah Metrodora 2022

Iklan
Anita (kiri) menerima anugerah dalam kategori ‘The Patient Champion for Science and Medicine’.

SHAH ALAM - Presiden dan pengasas Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA), Anita Abu Bakar menerima pengiktirafan anugerah ‘The Patient Champion for Science and Medicine’ pada Majlis Anugerah Metrodora 2022 baru-baru ini.

Metrodora yang dihoskan ‘International Alliance of Patients’ Organizations’ (IAPO) merupakan anugerah antarabangsa berprestij yang memberi pengiktirafan kepada wanita penting dan inovator dalam lapangan sains serta perubatan.

Iklan
Iklan

Dalam ucapannya ketika menerima anugerah tersebut secara maya pada 31 Mac lalu, Anita berkata, beliau percaya pengiktirafan tersebut bakal memberikan semangat baharu dalam perjuangan menghapuskan stigma terhadap pesakit mental.

"Di dalam lapangan yang kami perjuangkan, stigma, diskriminasi, ketidakadilan dan pencabulan hak asasi manusia sesuatu yang tidak asing lagi dan inilah yang dilalui oleh kebanyakan rakan sekerja kami.

Iklan

"Saya percaya pengiktirafan ‘International Alliance of Patients’ Organizations’ (IAPO) ini akan menguatkan lagi suara-suara kami dan memangkinkan kemajuan hak asasi sebagai individu yang bertarung dengan penyakit mental.

"Perkembangan ini seterusnya akan mencetus penyelesaian serta menghapuskan stigma mengenai penyakit mental. Tiada siapa patut merasa malu atau hina sebagai manusia disebabkan kondisi dan keadaan yang dilalui mereka,” katanya.

Iklan

Antara individu yang turut melahirkan ucapan tahniah kepada Anita atas pencapaiannya ialah Ahli Dewan Negara yang juga merupakan penaung ‘National Alliance of Mental Health’ (NAMH), Senator Datuk Ras Adiba Radzi dan Presiden Persatuan Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr Hazli Zakaria.

Anita merupakan seorang pejuang kesihatan mental melaksanakan misi dan tanggungjawab untuk mengurangkan stigma, diskriminasi dan prejudis terhadap golongan yang bertarung dengan penyakit mental.

Pada tahun 2016, beliau mengasaskan MIASA Malaysia yang memperjuangkan model penyembuhan dan perlindungan hak asasi manusia termasuk sokongan di komuniti dan penghapusan kaedah serta rawatan pemaksaan.

Di bawah aspek lapangan kerja advokasi dan perkhidmatan, MIASA menawarkan pendekatan holistik berteraskan perspektif Islam dan menekankan metode kolaboratif serta mengutamakan pemerkasaan dan penyembuhan dalam komuniti.