JOHOR BAHRU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa merupakan parti politik paling terkesan sekiranya pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dilaksanakan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara tersebut bukan lagi satu rahsia kerana terdapat ramai ahli Parlimen yang melompat parti dan menyertai Bersatu.
"Apabila RUU Anti Lompat Parti dibincangkan oleh jemaah menteri, kedengaran bahawa Menteri Bersatu adalah paling lantang mengkritik cadangan kerajaan, kononnya demi sebuah ketelitian dan penambahbaikan.
"Tetapi semua orang tahu bahawa cerita sebenar ialah kerana mereka rasa terpukul dengan RUU tersebut. Mereka punca utama keperluan RUU tersebut diusulkan untuk dijadikan undang-undang.
"Daripada 39 ahli Parlimen yang melompat (parti), 26 telah menyertai Bersatu, dilantik menjadi menteri dan mengurus negara ini," katanya dalam kenyataan, pada Selasa.
Pada 4 April, Ahli Parlimen Pagoh yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa membahaskan RUU Anti Lompat Parti di Parlimen melahirkan kebimbangan, pindaan RUU tersebut akan menjadikan ahli parti takut menegur kepemimpinan mereka kerana akan dipecat.
Kata beliau, kerajaan perlu mengkaji semula definisi ‘lompat parti’ supaya tidak menjadi RUU yang zalim kepada wakil rakyat sekiranya pemecatan itu berlaku kepada mana-mana individu dalam parti.
Mohamed Khaled berkata, pendirian Bersatu itu tidak selari dengan perjuangan parti tersebut yang sebelum ini menawarkan kepada orang Melayu nilai serta politik moral lebih bermutu dan baik.
Katanya, bagaimanapun Bersatu mengangkat pemimpin yang khianat memimpin negara dan bangsa hingga membuatkan rakyat bingung dengan tindakan itu.
"Perhatikan juga lapisan kedua pemimpin Bersatu. Adakah orang Melayu akan merasa yakin dengan kualiti, pemikiran dan ‘conviction’ mereka? Lihat sahaja bagaimana mereka menguruskan kementerian mereka, menyantuni rakyat dan pelbagai dasar yang mereka perkenalkan.
"Semuanya menjurus kepada ‘a serious neglect of duty' dan 'failed leadership’. Mengungkap idea besar dan cita-cita besar itu sangat mudah. Akhirnya 'ideals' dengan kerja nyata itu adalah sangat sukar untuk diterjemahkan," katanya.
Beliau menyifatkan Bersatu sebagai sebuah projek politik yang gagal dan tidak akan membawa Melayu ke mana-mana untuk selama-lamanya.
"Sebab utama kenapa ia gagal adalah kerana Presiden Bersatu tidak mempunyai ‘conviction’ pada apa yang beliau uar-uarkan. Akhirnya secara nyata, beliau hanya ingin kuasa, bukan kesanggupan untuk perjuangan yang panjang dan suci untuk orang Melayu dan tanah air," katanya.