SHAH ALAM - Sebanyak 25 subjek yang ditawarkan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berada di kedudukan terbaik dunia melalui penarafan 'Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings by Subject 2022'.
Tiga daripada 25 subjek itu antaranya Bahasa Inggeris dan Kesusasteraan, Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Awam berada pada kedudukan 150 terbaik manakala tiga subjek lagi, Kejuruteraan Mekanikal, Sains Bahan dan Undang-undang telah meningkat satu sela berbanding tahun lalu.
Kedudukan UKM dalam kesemua lima bidang utama, Seni dan Kemanusiaan, Kejuruteraan dan Teknologi, Sains Hayat dan Perubatan, Sains Semulajadi dan Sains Sosial serta Pengurusan juga telah meningkat dengan cemerlang.
Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, sebagai sebuah universiti watan, UKM berpegang teguh pada status universitinya yang komprehensif dengan mempunyai kedudukan dalam kesemua subjek umum, sekali gus menjadi yang terbaik dalam bidang Kejuruteraan dan Teknologi.
Menurutnya, ia juga sejajar dengan Rancangan Pendidikan Malaysia yang menekankan pada sains, teknologi dan Revolusi Industri 4.0.
"Usaha yang lebih strategik dan berfokus akan terus dilaksanakan untuk meningkatkan tahap subjek yang lebih baik. UKM juga akan meningkatkan lagi usaha bagi kecemerlangan Penyelidikan dan Petikan, di samping keterserlahan di peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau menambah, antara strategi utama untuk tahun 2022 adalah berdasarkan strategi yang telah dipetakan dalam Pelan Strategik T E R A S UKM 2021-2025, namun strategi lain yang berkaitan dan relevan masih diteruskan.
"Kita akan tingkatkan penerbitan berkualiti dalam Q1-Q4, memperkasakan penerbitan dalam jurnal berimpak tinggi dan secara langsung menjadi rujukan kepada para penyelidik antarabangsa yang lain.
"Ini secara tidak langsung akan menyumbang dalam indikator yang diketengahkan dalam QS World University Rankings,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Mohd Ekhwan berkata, beberapa strategi jangka panjang juga telah dirancang, antaranya menggalakkan sistem pementoran tokoh-tokoh akademik UKM bersama tenaga akademik muda dalam meningkatkan keilmuan serta keterserlahan bakat dan kepakaran.