Nurul Izzah tak tanding Pemilihan PKR, tumpu tarik pengundi

Iklan
Nurul Izzah

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar mengumumkan tidak akan bertanding dalam pemilihan pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi penggal 2022/2025.

Beliau yang berkongsi perkara itu di Facebook pada Selasa memberitahu, keputusan itu dibuat bagi menumpukan usaha memenangi hati pengundi atas pagar menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Iklan
Iklan

"Hari ini, buat ke sekian kalinya, semua anggota PKR yang layak, melalui proses pemilihan parti bagi memilih pemimpin yang terpaut di dalam hati, daripada jawatan Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden, sehinggalah kepada Majlis Pimpinan Pusat serta pimpinan di peringkat cabang.

"Seiring dengan komitmen penuh saya kepada usaha melindungi masa depan parti serta perjuangan yang kita kasihi, saya akan menumpukan sepenuh usaha dan perhatian kepada kempen memenangi hati pengundi atas pagar menerusi wadah Ayuh Malaysia,” katanya.

Iklan

Bekas Naib Presiden PKR itu menjelaskan, usaha menarik pengundi atas pagar itu akan dilakukan menerusi kempen 'Ayuh Malaysia' yang dilancarkan Rafizi Ramli baru-baru ini dan meminta diberikan ruang untuk memacu gerakan Ayuh Malaysia sepenuhnya.

"Titik pertemuannya ialah kejayaan kita meraih semula keyakinan rakyat yang telah banyak berkorban lalu menongkah badai sosioekonomi yang perit, lebih-lebih lagi selepas dilanda pandemik tetapi kecewa dengan kemelut politik negara.

Iklan

"Sudilah juga bersama saya mengorak langkah dari Permatang Pauh ke Johor Bahru, kemudian singgah di Pensiangan sebelum ke Labuan (memandangkan saya masih dihalang daripada bertandang di Bumi Kenyalang).

"Sertai Jelajah Ayuh Malaysia. Kita dengarkan bersama suara rakyat yang sentiasa tersemat sebagai suara keramat,” katanya.

Pengasas Bersama Ayuh Malaysia itu juga memberitahu, anggota parti telah memberikan sokongan penuh ketika beliau bertanding dalam ketiga-tiga penggal pemilihan lalu dan peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden PKR pada 2018 bukanlah titik noktah akhir kepada perjuangan dalam PKR.

"Sebaliknya ia langkah introspeksi, mengingatkan semua, termasuk diri saya sendiri tentang kepentingan mengembalikan keyakinan rakyat kepada kita, serta kepimpinan parti kepada perjuangan asal reformasi.

"Disember 2018, saat peletakan jawatan saya adalah apabila kita sudah sampai di Putrajaya, namun pasrah di pertengahan jalan akibat pengkhianatan dalaman.

"Suara hati saya tuntas melahirkan penolakan kepada bahang khianat yang jelas dirasakan sebelum penggulingan kerajaan yang dipilih rakyat berlaku,” katanya.

Ujarnya, meskipun tidak terlihat di dalam pesta demokrasi parti, tetapi beliau tetap mendokong rakan-rakan yang bertanding dengan penuh semangat setia kawan serta mengharapkan PKR mampu membidani satu lapisan kepimpinan yang gah dan komited.