Struktur haram punca pencemaran laut di pantai Tanjung Tokong

Iklan
Antara struktur yang didakwa dibina di kawasan pantai Tanjung Tokong.

GEORGETOWN - Persatuan Kemajuan Nusa Pulau Pinang (Nusa) kecewa apabila tanah rizab pantai Tanjung Tokong digunakan secara tidak sah sejak sekian lama tanpa tindakan penguatkuasaan yang serius oleh pihak berkuasa.

Setiausahanya, Nurhafiza Huda Idris berkata, pihaknya telah membuat lawatan ke kawasan tanah rizab pantai terbabit dan mendapati banyak struktur telah dibina.

Iklan
Iklan

Menurutnya, struktur-struktur yang dapat dilihat di persekitaran pantai termasuklah rumah kediaman, pondok, rumah kedai dan beberapa buah chalet.

"Struktur-struktur ini telah dibina atas tanah awam dan kesemua pemilik premis ini tidak mempunyai permit yang sah untuk menjalankan perniagaan.

Iklan

"Keadaan menjadi lebih buruk apabila terdapat isu alam sekitar yang serius di penempatan terbabit malah disebabkan tiada sistem kumbahan dan perparitan yang sesuai, sisa air buangan dari penempatan haram itu terus mengalir ke laut sehingga berlaku pencemaran laut serta mengancam ekosistem marin," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Penginapan homestay yang didakwa dibina di tanah rizab pantai Tanjung Tokong.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Nurhafiza mempersoalkan adakah sesiapa sahaja boleh membina rumah di atas tanah awam di Pulau Pinang.

Iklan

"Adakah undang-undang negeri sudah tidak digunapakai lagi? Mengapakah pihak berkuasa negeri tidak mengambil tindakan terhadap pencemaran laut dari penempatan ini?

"Mengapakah penghuni-penghuni tersebut boleh sesuka hati mengeksploitasi tanah awam secara percuma dengan menggunapakai rizab pantai ini sedangkan kita perlu bekerja keras untuk membeli hartanah," ujarnya.

Beliau berkata, tanah rizab pantai yang sepatutnya dipelihara dan dipulihara untuk rekreasi awam, kini sesak dengan penempatan dan perniagaan haram yang mencemarkan laut.

Justeru, Nusa berharap pihak berkuasa mengambil serius terhadap perkara ini dan memulihkan tanah rizab pantai ini untuk kegunaan awam.